Dr. Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) memohon penangguhan bagi menyiapkan laporan berhubung kajian pengiktirafan sijil itu kerana masih perlu melakukan proses libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk Ahli Parlimen, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Laporan itu sepatutnya siap pada Julai lepas dan kini dijangka siap pada akhir bulan ini, katanya dalam sidang media selepas melancarkan tabung Save Leukemia Kids Missions bagi membantu Tan Chee Kiat, kanak-kanak yang menghidap leukemia dan Tabung Leukemia Malaysia di sini hari ini.

“Saya berikan mereka tempoh enam bulan untuk siapkan laporan tetapi mereka juga menyatakan untuk hasilkan kajian yang komprehensif ia memerlukan lebih banyak proses libat urus dilakukan dan ini memakan masa,” katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan hari ini, dimaklumkan PPDUEC masih mempunyai baki 20 peratus kerja pelaporan yang perlu disiapkan sebelum laporan dan syor kepada kementerian itu dilengkapkan.

Kenyataan itu yang merujuk kepada wawancara Pengerusi PPDUEC, Eddin Khoo di sebuah portal dalam talian pada Rabu lepas yang memohon untuk menunda tarikh untuk menyerahkan laporan akhir kajian atas beberapa faktor.

Menurur Khoo, pasukan itu mahu mendapatkan maklum balas daripada ahli-ahli Parlimen dalam satu pertemuan pada 16 Okt ini sebelum laporan akhir kajiannya dibentangkan kepada kerajaan.

— BERNAMA

Artikel berkaitan

Penundaan laporan PPDUEC tiada kaitan dengan Tanjung Piai