B Sathianathan

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan memuji pendekatan Malaysian Football League (MFL) yang serius untuk memajukan kualiti jurulatih-jurulatih tempatan dalam kancah Liga Malaysia.

Beliau mengakui langkah terbaharu yang dilakukan MFL itu bukan sahaja meningkatkan kualiti jurulatih tempatan sebaliknya ia turut membantu corak persembahan pasukan Liga Malaysia itu sendiri.

Mengulas lanjut, Sathianathan memberitahu penambahbaikan ini sudah pasti bakal dimanfaatkan sepenuhnya kepada setiap pasukan bertanding di Liga Malaysia.

“Jurulatih memiliki Lesen A berhak untuk mengendalikan pasukan profesional dan begitu juga penolong jurulatih di mana individu ini juga harus memiliki Lesen A.

“Sekarang MFL melakukan penambahbaikan lagi dalam aspek kejurulatihan di mana MFL telah membuka ruang kepada mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan pembantu jurulatih penjaga gol.

“Secara tidak langsung ia dapat membantu meningkatkan kualiti jurulatih tempatan kita tambahan pula semua ketua jurulatih Liga Super bermula tahun 2020 telah diwajibkan memiliki Lesen Pro Diploma Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan bagi Liga Premier 2022, ketua Jurulatih turut wajib memiliki Lesen Pro Diploma.

“Jadi, syarat minima Lesen B untuk pembantu jurulatih penjaga gol adalah antara salah satu pendekatan MFL yang harus dipuji dalam usaha meningkatkan lagi kualiti jurulatih tempatan dan corak permainan kita,” katanya.

Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL yang dipengerusikan oleh Presiden Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin baru-baru ini memutuskan kelayakan kejurulatihan Lesen B dan ke atas sahaja layak berdaftar dan memegang jawatan di dalam pasukan.

MFL juga membuka ruang kepada pasukan yang ingin mendaftar pembantu jurulatih penjaga gol dalam pasukan dengan menepati syarat kelayakan seperti jurulatih penjaga gol iaitu Lesen B dan Sijil Kejurulatihan Penjaga Gol Tahap 2.

Dalam perkembangan sama, Sathianathan turut menyambut baik langkah kesemua fisioterapi wajib berdaftar dengan Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) sebelum mereka dibenarkan menyertai pasukan.

“Sudah pasti pengiktirafan itu sangat penting dan meningkatkan lagi sektor fisioterapi dan dengan adanya sijil MPA, fisioterapi layak didaftarkan bersama pasukan.

“Sekarang semua dapat melihat betapa seriusnya MFL untuk mengangkat kualiti bukan sahaja daripada aspek pembangunan akar umbi tetapi secara menyeluruh,” ujarnya. – MalaysiaGazett

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast