Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan sumbang mahram, seks luar tabii dan merakam video pornografi anak sulungnya yang berusia 11 tahun, bulan lepas.

Tertuduh berusia 41 tahun, bapa kepada dua anak itu mengaku bersalah menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit terhadap kanak-kanak itu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Semua kesalahan tu didakwa dilakukan di sebuah rumah sekitar Marang, kira-kira 11 pagi dan 5 pagi, antara 20 Sept dan 21 Sept lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan bagi kesalahan persetubuhan yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang, yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Bagi kesalahan perbuatan di luar tabii pula dia didakwa mengikut Seksyen 377B kanun yang sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan merakam video pornografi, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang enam sebatan.

Hakim menetapkan Selasa ini untuk menjatuhkan hukuman iaitu selepas mendapat laporan forensik.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette