Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memikirkan jalan penyelesaian dalam menangani arus Revolusi Industri agar rakyat tidak menjadi korban kepada pembangunan teknologi yang akan mewujudkan jurang pendapatan dan masalah sosial lain.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, mengikut laporan Pekerjaan Masa Hadapan 2018 yang dirumuskan World Economic Forum menjangkakan 133 juta jenis pekerjaan akan pupus akibat peralihan teknologi yang dibawa Revolusi Industri 4.0.

Katanya, Malaysia juga tidak terkecuali daripada impak itu yang akan menjejaskan penyertaan tenaga buruh serta meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur.

“Dari jumlah itu, seramai 174,327 siswazah menganggur dan ini amat membimbangkan kerana siswazah sudah pun tergolong dalam buruh profesional, namun masih tidak mendapat pekerjaan.

“Bayangkan jika Revolusi Industri tidak dikawal dengan bijak, bagaimanakah nasib golongan B40 dan mereka yang tidak mempunyai kepakaran profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, kebanyakan pekerjaan bakal pupus membabitkan kerja rutin seperti perkeranian, pentadbiran dan pekerja pemasangan serta kilang merangkumi kerani kemasukan data, setiausaha eksekutif, akauntan dan juruaudit jika Revolusi Industri tidak dikawal dengan cekap.

Dalam mengejar pembangunan, katanya, aspek kemanusiaan tidak boleh diambil mudah kerana melibatkan survival kehidupan seharian manusia yang semakin hari semakin tertekan.

“Kerajaan harus bijak mengimbangi masalah ini dengan menumpukan sektor lain seperti pertanian, perladangan dan perikanan.

“Misalnya, ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), Program Transformasi Ekonomi berjaya mencatatkan pendapatan negara kasar (PNK) komited berjumlah RM9.224 bilion, membuka 28,645 peluang pekerjaan dan menjanjikan pelaburan komited bernilai RM7.7 bilion dalam sektor pertanian,” katanya.

Menurut Dr. Najmil Faiz lagi, Malaysia perlu mempunyai pendirian kukuh dalam isu itu.

Kata beliau, Program Transformasi Ekonomi tidak meminggirkan sektor perkhidmatan, di mana telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 1.78 juta orang dan menyumbang 54 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast