Sesi fotografi bersama pelakon, Nad Zainal pada Majlis Pelancaran Filem Hasmah di Pusat pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Nad Zainal menjalani latihan bermain biola selama lebih sebulan sebagai persediaan memegang watak penting dalam filem HASMAH ‘Bila Deh Bertemu Det’.

Ini kerana Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mempunyai bakat bermain instrumen muzik tersebut.

Selain itu, Nad atau nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin turut membaca buku biografi tentang Siti Hasmah selain menonton wawancara bagi menjiwai watak insan itu.

“Sebulan lebih kelas biola, bukan semua dah tahu, tinggal nak main lagi saya banyak tengok video wawancaranya dan tengah latihan suaranya,” katanya pada sidang media majlis Pelancaran Filem HASMAH ‘Bila Deh Bertemu Det’.

Dipertanggungjawabkan memegang watak yang dianggap sangat mencabar, Nad berkata, beliau telah lama mengimpikan untuk membintangi filem biopik.

“Saya sebenarnya waktu mendapat mesej tawaran berlakon saya tak pecaya, ibarat mimpi saya dah lama mengimpikan watak filem biopik.

“Saya ambil ini sebagai satu cabaran dan saya jujur kata masih lagi gementar,” ujarnya.

Nad juga memaklumkan bakal berjumpa dengan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu ini untuk mengetahui perwatakannya.

Membawa watak Dr. Mahathir, Hasnul Rahmat berkata, tanggungjawabnya adalah menyokong watak Nad sebagai Siti Hasmah bagi menguatkan lagi jalan cerita filem yang bakal memulakan pengambaran pada Mac tahun depan itu. -MalaysiaGazette