Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan bagi meningkatkan peruntukan penjagaan alam sekitar dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, ini supaya peruntukan yang diberikan secara maksimum itu dapat digunakan untuk memelihara dan membangun alam sekitar secara lebih lestari dan mampan.

Katanya, walaupun peruntukan bajet pembangunan dan pengurusan alam sekitar tahun 2014 sebanyak RM2.362 bilion, meningkat kepada RM2.527 bilion tahun 2018, namun begitu sedikit berbanding bajet dalam sektor lain.

“Saya mahu kerajaan pandang serius dan cakna terhadap kualiti alam sekitar negara secara lebih komprehensif menjelang tahun 2020 dengan mengamalkan konsep pembangunan lestari serta menyediakan mekanisme lebih efektif bagi menangani sesuatu isu alam sekitar yang melanda negara.

“Tahun ini, rakyat dipaparkan dengan pelbagai tragedi dan isu melibatkan ancaman nyawa dan alam sekitar, sekali gus merencatkan pembangunan ekonomi negara.

“Misalnya, insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim dan pencemaran udara akibat gas toksik di Pasir Gudang telah menggemparkan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Selain itu, kata beliau, isu lambakan dan kilang proses sisa plastik import serta pusat pelupusan sampah yang dilakukan secara haram serta berleluasa juga menunjukkan kelompangan undang-undang, selain kerapuhan penguatkuasaan sehingga menjejaskan kesihatan penduduk.

Che Alias berkata, negara ini juga dilanda jerebu yang teruk akibat kerakusan aktiviti pihak tidak bertanggungjawab sehingga mencatatkan kedudukan teratas dalam pencemaran udara tertinggi dunia iaitu IPU 266.

“Di samping itu, kualiti sungai negara kita juga berada pada tahap cukup membimbangkan.

“Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat 25 sungai mati akibat kadar pencemaran yang teruk dengan berada Kelas 4 dan 5, selain lebih 80 peratus sungai mati di bandar utama.

“Malah, terdapat 26 sungai pada Kelas 4 dan sebatang sungai Kelas 5 iaitu Sungai Tukang Batu, Johor didedahkan pada akhir tahun lalu,” ujar beliau.

Ini tidak termasuk dengan isu pembalakan, pemburuan dan perlombongan haram yang turut memusnahkan aset khazanah semula jadi.

Katanya, perkara itu juga turut memberi ancaman kepada hidupan liar, selain menjejaskan penempatan Masyarakat Orang Asli.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan menyemak semula undang-undang alam sekitar sedia ada agar selain penjenayah alam sekitar dikenakan hukuman berat, ada satu rujukan perundangan yang relevan mengikut peredaran zaman pascamoden kini dan mempunyai jalan penyelesaian lebih efisien. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast