KUALA LUMPUR – Kesediaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak menjual Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) kepada firma Hong kong, RRJ Capital dengan tawaran RM3.5 bilion adalah melampau dan keterlaluan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, tindakan itu seperti menggadaikan negara secara keseluruhan kepada syarikat asing.
Beliau menjelaskan, kepimpinan hari ini semakin rakus menjual aset strategik kerajaan kepada syarikat asing apabila hampir RM30 bilion aset negara yang selama ini dikumpul telah dijual oleh kerajaan PH.
“Tindakan menjual PLUS adalah melampau dan membuktikan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad gagal sepenuhnya menjaga kepentingan negara.
“PLUS adalah milik Khazanah Nasional Berhad dan aset strategik ini seharusnya dikekalkan sebagai hak milik negara. Bagaimanakah nasib kakitangan dan peniaga vendor jika PLUS telah dijual kepada syarikat asing?
“Sudah tentu akan berlaku pengubahsuaian dalam organisasi seperti pengurangan pekerja dan perubahan polisi yang memihak kepada syarikat asing,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Dr. Mahathir pada sidang media di lobi Parlimen semalam dilaporkan berkata, kerajaan bersedia menjual PLUS jika nilainya bersesuaian dengan bidaan ditawarkan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri itu berkata, kerajaan akan tetap memastikan masih memiliki kepentingan saham di dalam syarikat berkenaan walaupun sudah dijual.
Menurut Dr. Najmil Faiz, aset milik Khazanah Nasional seperti IHH Berhad sudah pun dijual kerajaan PH kepada Jepun pada November 2018 pada nilai RM8.41 bilion.
Selain itu, Khazanah Nasional juga telah menjual keseluruhan 55 peratus pegangan saham dalam lebuh raya tol Jakarta dengan harga RM2.1 bilion pada September 2019.
“Kini PLUS pula hendak dijual kepada syarikat asing dan akan merugikan Khazanah Nasional kerana tidak memiliki apa-apa aset strategik lagi untuk kepentingan ekonomi negara.
“Jika PLUS dijual, Khanazah Nasional akan gagal menjalankan fungsinya sebagai syarikat induk dalam pelaburan kerajaan Malaysia.
“Kebolehan Dr. Mahathir dalam mentadbir negara semakin diragui kerana tiada sebarang pembangunan ekonomi dilakukan sejak memerintah dan hanya mahir dalam menjual aset strategik negara,” katanya.
Beliau menegaskan, retorik politik Dr. Mahathir yang mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menggadaikan negara kepada syarikat asing kini terbukti fitnah dan pada hari ini kerajaan PH adalah faktor utama membawa kepada kegagalan ekonomi negara.
“Kerakusan kerajaan PH menjual aset negara menyebabkan kita kehilangan seluruh harta dan aset strategik yang selama ini menjadi simbol kekuatan ekonomi negara yang telah lama dibina oleh kerajaan BN.
“Rakyat Malaysia akan diibaratkan menumpang di bumi sendiri apabila seluruh harta tergadai kepada syarikat asing,” katanya.
Kata beliau, Pergerakan Pemuda UMNO akan terus mendesak kerajaan PH tidak menjual PLUS kepada syarikat asing kerana ianya adalah pemilikan rakyat dan Khazanah Nasional harus menjadi entiti tunggal yang mengawalnya. – MalaysiaGazette