Tan Sri Shahrir Abdul Samad. UMNO President Prime Minister
Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Samad menganggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendahului mahkamah dengan mengeluarkan notis kompaun 1MDB.

Veteran UMNO itu menegaskan, notis itu dipertikaikannya kerana proses perundangan berkaitan 1MDB masih berjalan.

“Apakah sudah terbukti duit diberikan Najib Razak kepada kita ini memang datangnya dari 1MDB?” katanya dipetik daripada laporan FMT hari ini.

Beliau antara 80 individu dan dan syarikat yang dipercayai menerima jutaan ringgit daripada 1MDB.

Semalam, Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menegaskan, notis kompaun dikeluarkan bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Selain Shahrir, turut tersenarai sembilan individu termasuk adik Najib Razak, Datuk Seri Nazir dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan selain 43 entiti politik dan 23 syarikat.

Kesemuanya disenaraikan menerima sehingga RM420 juta daripada 1MDB.

Mereka dikehendaki mengembalikan wang terbabit dalam tempoh dua minggu atau mencabar notis berkenaan di mahkamah.

Dalam pada itu, Shahrir memilih untuk mengikuti proses perundangan bagi menyelesaikan isu itu dan berkata beliau masih menunggu surat kompaun.

“Tidak pernah dengar lagi, selepas akaun dibekukan sebelum ini, kemudian selepas setahun pula hendak kompaun,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

1MDB: Nazir Razak, Ahmad Maslan antara 80 terima notis kompaun RM420 juta