KUALA LUMPUR – Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membantu seramai 2.9 juta golongan berpendapatan rendah (B40) adalah idea yang baik.

Bagaimanapun, idea itu dikhuatiri mengakibatkan golongan penerima subsidi tersebut menjadi mangsa kepada sistem yang diperkenalkan itu, kata Pensyarah Pengajian Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

Menyifatkan PSP sebagai double edge sword (ada kebaikan dan keburukan),beliau berkata, meskipun cadangan apungan minyak petrol RON95 tidak secara sahih dapat dibuktikan akan mengakibatkan kenaikan melampau harga barang tetapi secara relatifnya apabila harga minyak naik, kos operasi pun meningkat.

Apabila kenaikan itu berlaku, kosnya pasti akan diserap dalam harga barangan dan perkhidmatan.

Akhirnya, kenaikan bukan sahaja memberi kesan negatif kepada 30 juta rakyat yang tidak berada dalam kerangka PSP tetapi juga kepada golongan B40.

“Sekiranya ini terjadi maka PSP yang dilaksanakan oleh kerajaan  tidak ada nilai tambah yang signifikan kepada golongan sasar (B40).

“Ini kerana, kenaikan harga barang turut menyebabkan kumpulan B40 terpaksa tanggung secara bersama, sekali gus mengakibatkan kos sara hidup mereka meningkat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Haim Hilman berkata, kerajaan seharusnya lebih jujur dalam membantu 2.9 juta kumpulan sasar B40 dalam menghadapi trend kenaikan sara hidup.

“Ia penting kerana kita tidak mahu kelompok sasaran yang menerima sedikit bantuan ini akhirnya menjadi mangsa kepada sistem yang diperkenalkan,” tambah beliau lagi.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PSP itu dikhususkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup yang memiliki kenderaan mengikut kriteria ditetapkan iaitu RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal.

Program itu membabitkan jumlah tanggungan kerajaan sebanyak RM65.4 juta sebulan dan akan bermula pada 1 Januari 2020. – MalaysiaGazette