Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan Di Malaysia 'Takrifan dan Pelaksanaan' di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kemelut mengenai penutupan operasi Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) selepas berdepan dengan pelbagai masalah kewangan mendapat perhatian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan perkembangan mengejutkan itu, Anwar menyeru agar agensi media lain menggaji bekas pekerja syarikat surat khabar itu.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa pekerja dan staf Utusan Melayu.

“Semoga ada pihak media yang lain yang sudi menempatkan mereka di agensi-agensi mereka supaya pekerja-pekerja Utusan Melayu ini dapat meneruskan kelangsungan hidup,” ciap Anwar di Twitternya hari ini.

Kemelut syarikat media itu berusia 80 tahun itu terjawab hari ini dengan langkah menghentikan operasinya dan tarikh akhir perkhidmatan kakitangannya bermula esok.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir, langkah itu dibuat selepas pelbagai usaha ‘menyelamatkan’ syarikat tidak menjadi.

Ia termasuk menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada 700 kakitangan, penjualan aset, edaran akhbar menjunam turun dan kegagalan sumbangan iklan tidak menepati sasaran. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Utusan Melayu tutup operasi mulai hari ini