Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Suasana sidang Dewan Rakyat riuh seketika apabila Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyebut perkataan maruah ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas (Pas), Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau yang menyentuh mengenai peranan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) menyenaraikan satu persatu program peningkatan rohani dalam kalangan anggota tentera termasuk kelas cepat membaca al-Quran, forum perdana dan bacaan almathurat.

“Supaya kalau dia sebut tu betul, kalau maruah sebut maruah,” katanya disambut hilaian ketawa dalam kalangan anggota Dewan Rakyat yang memenuhi dewan.

Berapa ahli Parlimen termasuk dari Kuala Krai dan Pasir Salak berselang-seli menyampuk: “Menteri bagi terang sikit. Abang Mad cakap terang sikit.”

Ada juga yang bertanya dari tempat duduk: “Keputusannya maruah atau barua?”

Mohamad Sabu sambil tersenyum menjawab: “Sebutan kena betul dengan sebutan kalimah Arab.”

Seorang lagi wakil rakyat menyampuk: “P Ramlee dah pesan cakap biar terang.”

Mohamad Sabu kemudian meneruskan jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Pasir Mas dan sebaik selesai membaca jawapan asal, beliau berkata:”Terima kasih, ganggu jangan lebih-lebih.”

Isu maruah merujuk kepada video sidang akhbar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memaparkan gelagat Datuk Seri Anwar Ibrahim menuturkan sesuatu kedengaran seperti barua atau maruah.

“Lepas kongres maruah ni dia semangat lain macam,” kata Anwar kepada perdana menteri ketika masing-masing sibuk meninggalkan bilik sidang media.

Mohamad Sabu yang ketika itu sedang berjalan keluar turut menjawab: “Kongres Melayu bermaruah.”

Sementara itu menteri pertahanan itu ketika ditemui media di lobi Parlimen turut diajukan soalan berkaitan video itu.

“Saya tidak pasti perkataan itu, kena tanya pada Anwar. Rakaman daripada jauh, jadi kita tidak tahu apa yang disebut sebenarnya,” katanya.

Menurut beliau, jaraknya dengan Anwar juga jauh ketika masing-masing keluar dari bilik mesyuarat.

“Kena semak dengan Anwar sendiri.

“Saya tidak dengar, video itu tunjuk pun saya tidak tahu apa dia kata. Masa keluar saya tidak dengar,” katanya lagi. – – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast