Yazid
Ahmad Yazid Othman

KUALA LUMPUR – Hasrat kerajaan memecahkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mesti dilakukan secara adil, dengan perkongsian hak lesen import (AP) kepada pengilang dan pemborong Bumiputera, dan bukan hanya kepada pemain industri besar milik bukan Bumiputera.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman, pihaknya berharap syarikat yang mengambil alih tanggungjawab Bernas mesti berpengalaman dan mampu membawa kedudukan yang lebih baik kepada petani khususnya, serta rakyat Malaysia.

“Syarikat tersebut mestilah telah lama terlibat dalam industri padi beras dan bukan salah satu anak syarikat Bernas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Yazid menegaskan bahawa pengagihan kuota AP harus dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan pengambilan secara menyeluruh atau bersama-sama dapat berjalan lancar tanpa merugikan mana-mana pihak, terutama kerajaan.

“Tempoh pengukuran mesti melebihi dua tahun bagi melihat keberkesanan dan kestabilan perjalanan operasi syarikat-syarikat yang diberi amanah,” katanya.

Ahmad Yazid turut mencadangkan agar pada fasa akhir tahun ini ,pelbagai perkara perlu dilaksanakan bagi menjamin keberkesanan peralihan.

Ia termasuk syarikat yang berdaya saing serta berpengalaman luas mampu memikul tanggungjawab yang diberikan seperti pemasaran dan pengurusan berskala besar bagi memastikan kepentingan pemegang kepentingan terjamin.

“Sekiranya ini dapat dilaksanakan, industri padi dan beras negara pasti akan berkembang maju, dan akan menjamin keselamatan makanan yang sebenar serta meningkatkan penglibatan usahawan Bumiputera dalam industri yang paling asas dan penting bagi Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast