Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hasil cukai sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka stabil 11.8%.

Manakala kutipan cukai langsung dianggar meningkat 5.2% kepada RM142.7 bilion merangkumi 75.1% daripada jumlah hasil cukai, disumbangkan oleh peningkatan cukai pendapatan syarikat dan cukai pendapatan individu masing-masing sebanyak RM75.5 bilion dan RM37.4 bilion.

Sementara itu, hasil cukai langsung lain terdiri daripada duti setem, cukai keuntungan hartanah (CKHT) dan cukai lain dijangka meningkat masing-masing 7% kepada RM8.7 bilion.

Peningkatan duti setem kepada RM6.8 bilion dan CKHT kepada RM1.7 bilion selaras dengan jangkaan pasaran hartanah yang stabil

Cukai tidak langsung dijangka meningkat 6.5% kepada RM47.3 bilion terutama disumbang oleh hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi.

Kutipan SST pada tahun 2020 diunjur RM28.3 bilion atau 1.8% daripada KDNK selaras dengan perbelanjaan penggunaan yang lebih tinggi, Program Tahun Melawat Malaysia 2020 dan pelbagai program antarabangsa.

Sasaran ketibaan 30 juta pelancong dan jangkaan pendapatan sektor pelancongan sebanyak RM100 bilion pada tahun 2020.

Hasil cukai jualan dijangka meningkat 5.4% kepada RM16.3 bilion disumbangkan oleh mesin dan alat ganti serta jualan kenderaan.

Cukai perkhidmatan dianggar berjumlah RM12 bilion yang sebahagian besar disumbangkan oleh permintaan tinggi terhadap sektor makanan dan minuman, diikuti telekomunikasi dan insurans.

Kutipan duti eksais pada tahun 2020 dijangka meningkat 4.9% kepada RM11 bilion berikutan peningkatan permintaan terhadap kenderaan bermotor.

Hasil bukan cukai tanpa mengambil dividen khas Petronas dianggar berkurangan 2.4% kepada RM54.6 bilion atau 3.4 % daripada KDNK.

Dividen Petronas diunjur berjumlah RM24 bilion manakala lesen dan permit dijangka berkurangan kepada RM15.2 bilion berikutan pengurangan hasil royalti petroleum kerana harga minyak mentah yang murah.

Tetapi lesen dan permit kenderaan bermotor dan levi pekerja masing-masing meningkat kepada RM3.4 bilion.

Hasil petroleum dijangka mencatat RM50.5 bilion pada tahun 2020 selaras dengan purata harga minyak mentah dunia AS$62 setong. – MalaysiaGazette