Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof
Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, usaha pemerkasaan usahawan Bumiputera bukan sahaja tidak ketinggalan bahkan ada peningkatan dalam Belajawan 2020.

Beliau berkata, walaupun peruntukan pembangunan usahawan Bumiputera tidak diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), namun ia pihaknya merupakan penyelaras kepada dana berkaitan.

“Memang saya nampak ada peningkatan, terpulang kepada masyarakat Bumiputera itu untuk mendekati MED supaya kita boleh memberi panduan kepada mereka di mana peruntukan itu dan mereka boleh mendapat manfaatnya.

“Walaupun tak nampak peruntukan itu diletakkan supaya spesifik di bawah MED, tapi kita akan menyelaras segala peruntukan itu.
Contohnya yang melibatkan SME Bank, kita nampak dalam Teraju dan PNB. Kita akan bersama-sama menyelaraskan peruntukan ini untuk dimanfaatkan dari segi keberhasilan itu sendiri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 lebih dua jam di Dewan Rakyat, hari ini.

Belanjawan 2020 yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ merupakan bajet tahun kedua selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Persekutuan.

Mohd Redzuan juga berkata, meskipun MED tidak diberi tanggungjawab untuk membelanjakan semua peruntukan itu, namun pihak boleh menguruskan dana itu melalui program pembangunan usahawan.

“Tidak semestinya diletak di bawah MED untuk dibelanjakan sebab dia melibatkan dalam program-program sebagai pemudah cara, tidak melibatkan pemberian peruntukan untuk dibelanjakan.

“Contoh nak membudayakan warga usahawan untuk memahami apakah kemakmuran bersama yang telah dibawa dalam wawasan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Katanya lagi, kementeriannya juga akan memberi rangsangan kepada dasar MED untuk mencapai matlamat pembangunan usahawan yang dibukukan di dalam DKN2030 sebagai permulaan.

“Ini akan mendokong Kemakmuran Bersama yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad

“Insentif usahawan itu banyak diletakkan di pelbagai kementerian, kita mengkoordinasikan ini dengan kerjasama Kementerian Kewangan supaya kita ada hala tuju.

“Dasar kita jelas, jadi kita tak mempunyai contohnya kementerian ini ada tanggungjawab tertentu untuk memastikan keberhasilan itu kita dapat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette