Orang ramai tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di kaca televisyen ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pemberian Khas tahunan kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dinaikkan sekali ganda di bawah Bajet 2020.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Sabah akan menerima RM53.4 juta setahun manakala RM32 juta diperuntukkan kepada Sarawak.

“Sejak tahun 1969, kadar Pemberian Khas tahunan ini iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak belum pernah disemak semula.

“Oleh itu, buat pertama kalinya bermula tahun 2020, Kerajaan Pakatan Harapan bercadang untuk menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak.

“Bagi menunjukkan keperihatinan terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun,” katanya semasa membentangkan Bajet 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Guan Eng turut menyatakan komitmen kerajaan untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo yang mana kosnya telah berjaya dikurangkan kepada RM29 bilion berbanding RM30.2 bilion sebelum ini.

“Penjimatan ini membolehkan perancangan Kerajaan untuk projek lain bagi memacu pertumbuhan ekonomi termasuk di Sabah dan Sarawak seperti  Lebuh Raya Trans Borneo sepanjang 165 km yang menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Kalimantan Timur.

“Antara komponen penting projek ini adalah pakej bernilai RM600 juta untuk 40 km Jalan Kalabakan-Serudong dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dan kuarters perumahan kerajaan,” tambahnya.

Kerajaan juga, menurut Guan Eng. memperuntukkan RM170 juta bagi membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barang asas ke kawasan luar bandar.

Ini bagi memastikan penduduk di luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak mendapat barangan keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga berpatutan. – MalaysiaGazette