KUALA LUMPUR – Sebuah NGO, Solidariti Amal Rakyat Malaysia (Soaram) mahu Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan pendaftaran parti DAP mengikut Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966.
Presidennya, Faizul Ali Anui berkata, ini berikutan pimpinan tertinggi DAP terlibat dan menyokong aktiviti keganasan serta cuba menghidupkan semula kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Kata beliau, kuasa penuh seksyen itu adalah di bawah bidang kuasa Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jika siasatan polis nanti mendapati pemimpin atau ahli DAP terlibat mempromosikan, menyimpan aksesori LTTE, menyokong dan mengumpul dana bagi tujuan menghidupkan atau menaja kumpulan itu, tindakan wajar harus diambil,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan mana-mana pihak tidak membandingkan Malaysia dengan negara lain dalam isu penahanan tujuh suspek termasuk dua wakil rakyat DAP dalam aktiviti LTTE.
Kenyataan balas itu dibuat selepas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membidas tangkapan ke atas individu terbabit, seorang daripadanya Exco Kerajaan Negeri Melaka, yang disyaki terlibat menyokong LTTE di Malaysia.
Menurut Faizul Ali, penjelasan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga membuktikan parti itu boleh dibatalkan pendaftaran pertubuhannya mengikut Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966.
Katanya, soal aktiviti keganasan itu wajib dibanteras segera tanpa melihat kepada sisi politik kerana akan membantutkan usaha polis menghapuskan aktiviti pengganas di negara ini.
“Menjadi tanggungjawab utama Muhyiddin dan polis memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman tanpa ada sebarang ideologi pengganas dapat dikembangkan di Malaysia.
“Jika Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal membendung aktiviti menyokong LTTE dan tidak mengambil tindakan membatalkan pendaftaran DAP, saya percaya kemenangan akan berpihak kepada pemimpin dan ahli parti itu yang menyokong aktiviti pengganas.
“Saya tegas dalam memastikan rakyat sentiasa berasa selamat dan jaminan ketenteraman dari KDN serta polis dapat dilaksanakan dengan penuh integriti tanpa memihak kepada mana-mana individu termasuk ahli serta parti politik,” ujarnya. – MalaysiaGazette