Menteri Kewangan Malaysia, Yb Lim Guan Eng bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan 2019 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk meluaskan asas percukaian merangkumi kegiatan ekonomi bayangan.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, mengikut kajian LHDN sebelum ini, saiz ekonomi bayangan di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ia meliputi lesen-lesen yang diperolehi daripada syarikat lain, sub-kontraktor dan sebagainya.

“Jika mengikut kajian LHDN ianya merangkumi 21 peratus, jadi kalau boleh tangkap mereka semua dan jumlah tersebut diserap ke dalam asas percukaiannya tentunya ia akan menambah pendapatan negara.

“Sekarang ini, kita rugi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.

Ekonomi bayangan atau shadow economy merujuk kepada aktiviti atau urus niaga perniagaan yang berlaku di bawah radar.

Ia juga dikenali sebagai ekonomi bawah tanah atau ekonomi kelabu, yang mana merangkumi aktiviti haram seperti penjualan dadah atau penyeludupan mahupun pekerjaan bukan jenayah seperti bekerja di tapak pembinaan atau menjaja tanpa lesen.

Tambah Guan Eng, LHDN akan mengambil usaha untuk meluaskan asas percukaian yang merangkumi semua kegiatan berkenaan.

Katanya, sekiranya pendapatan golongan tersebut dapat dimasukkan ke dalam asas percukaian, hasil negara akan bertambah.

Kerajaan mensasarkan kutipan cukai pada tahun hadapan adalah sebanyak RM189.9 bilion atau 77.7 peratus daripada jumlah hasil.

Jumlah tersebut mewakili 11.8 peratus daripada KDNK.-MalaysiaGazette