Foto Twitter Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berjaya menjejaki pemilik kereta Proton Wira usang, yang pernah tular menerusi ciapannya di Twitter pada 8 Sept lepas dan bertemu dengan pemiliknya.

Usaha menjejaki pemilik kereta itu, Yap Chi Hoe, 39, dilakukan pihaknya dengan mengesan nombor pendaftaran keretanya.

Bagaimanapun, pemandu lori dari Klang, Selangor, itu pada ada mulanya berasa ragu untuk bertemu dengan ahli Parlimen itu kerana khuatir dia dipergunakan ‘orang politik’.

“Mula-mula Yap tidak mahu berjumpa kerana bimbang saya sebagai orang politik akan mempergunakannya, tetapi setelah menjelaskan tujuan sebenar saya, barulah beliau sudi berjumpa,” katanya kepada media selepas melawat Yap di Hospital Pantai. di sini, hari ini.

Menceritakan lanjut, Fahmi berkata hasil pertemuan itu, beliau mendapati Yap mengalami masalah mata dan perlu menjalani pembedahan mata akibat masalah pemisahan retina kronik.

“Justeru, saya berjaya menghubungi pihak Hospital Pantai untuk membantu Yap dalam mendapatkan rawatan mata dan pihak hospital bersetuju untuk menanggung kos perubatan, termasuk pembedahan mata yang bernilai kira-kira RM40,000,” katanya.

Fahmi sebelum ini dikecam warganet kerana tidak prihatin terhadap golongan memerlukan dengan mentertawakan keadaan kereta Yap menerusi ciapan Twitter yang berbunyi “kereta ni macam kereta perang.”, “cukup sifat ni.” dan “Ni bukan cukup sifat, ni cukup syarat je ni.”.

“Setelah memahami keadaan, barulah saya tahu rupa-rupanya kereta Yap yang remuk teruk di bahagian belakang baru sahaja dilanggar sebuah lori kontena yang menyebabkan ia kelihatan usang dan beliau terpaksa mengambil risiko memandunya setelah menunggu trak tunda yang tidak sampai,” katanya.

Fahmi meluahkan rasa sedih apabila Yap yang menghidap penyakit mata terpaksa mengambil risiko memandu dan semasa kejadian itu Yap dalam perjalanan untuk membawa pulang makanan anjing ke rumahnya.

Fahmi juga mengambil kesempatan untuk memperbetulkan beberapa fakta tidak tepat mengenai Yap yang dikongsi oleh warganet.

“Ada netizen yang mengatakan Yap adalah pemandu Grabfood dan perlu menjaga kedua ibu bapanya, tetapi sebenarnya Yap merupakan seorang pemandu lori yang kini perlu menjaga lebih 20 ekor anjing liar di rumahnya di Klang.

“Oleh itu jika mahu berkongsi maklumat, biarlah yang betul,” katanya.

Sementara itu, Yap ketika ditemui pemberita berterima kasih kepada Fahmi dan pihak hospital kerana prihatin terhadap masalah matanya.

“Beliau (Fahmi) memohon maaf kepada saya dan prihatin dengan keadaan kereta saya yang uzur dan berbahaya ketika di atas jalan, sebab itulah beliau berusaha membantu saya semampu yang boleh untuk memulihkan hidup saya,” kata Yap.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai, Erica Lam, berkata hospital itu sememangnya mempunyai program khas bagi membantu meringankan beban kos rawatan kepada golongan memerlukan.

“Menerusi program itu, pihak kami meminta Yap untuk datang ke hospital menjalani pemeriksaan mata dan mendapati penyakitnya memerlukan rawatan segera, jika tidak beliau mungkin akan buta,” katanya.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak tweet YB Fahmi terpaksa minta maaf

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast