Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2017

PETALING JAYA – Tindakan protes seorang graduan yang mengangkat plakad menggesa Naib Canselor Universiti  Malaya (UM), Dr. Abdul Rahim Hashim meletak jawatan dalam majlis konvokesyen universiti tidak berhenti begitu sahaja.

Susulan protes balas terhadap tindakan graduan yang dianggap biadap oleh segelintir pihak,  aktivis pelajar itu, Wong Yan Ke pula mendakwa pihak universiti menggunakan pelbagai “jentera” untuk mewujudkan tekanan kepada pelajar.

“Apa yang di luar jangkaan saya adalah naib canselor secara terang-terangan mengguna kuasanya untuk menekan.

“Ini membuktikan bahawa tuntutan saya adalah wajar. Perkembangan kejadian ini menunjukkan beliau tidak sesuai memegang jawatan naib canselor,” katanya kepada Sinchew Daily.

Yan Ke yang menerima skrol dalam istiadat konvokesyen pada Isnin membuka plakad menuntut Abdul Rahim meletak jawatan kerana mengeluarkan kenyataan rasis dalam Konvensyen Maruah Melayu.

Graduan jurusan kejuruteraan itu berkata, tindak balas terhadap protesnya dalam konvokesyen adalah dalam jangkaan, tetapi tidak menyangka ada pihak yang menuntut supaya ijazahnya ditarik balik.

Tambahnya, bantahan dalam majlis konvokesyen adalah perkara biasa di universiti luar negara, malahan ada orang protes semasa pemimpin utama Amerika Syarikat dan Kanada memberi syarahan.

Menurut Yan Ke, dia tidak melihat pihak universiti menyediakan saluran dan persada untuknya menyuarakan tuntutan.

Pihak UM telah membuat laporan polis atas kejadian protes semasa konvokesyen itu.

Selain itu, tersebar dalam Internet dakwaan bahawa Naib Canselor Universiti Malaya mengarahkan 50 hingga 60 kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UM mengadakan tunjuk perasaan bagi memulihkan reputasi universiti dan naib canselornya. – MalaysiaGazette