KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng diingatkan tidak mencampuri urusan pihak polis dalam siasatan ke atas dua pemimpin DAP yang dikaitkan dengan aktiviti Kumpulan Pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata, tindakan setiausaha Agung DAP yang melantik beberapa peguam untuk mempertahankan dua wakil rakyatnya jelas melanggari kedaulatan undang-undang.

“Pas memberi amaran keras kepada DAP supaya jangan mencampuri urusan siasatan pihak polis dan menyerahkan sepenuhnya urusan kes ini kepada pihak berkuasa yang lebih mengetahui fakta sebenar melibatkan suspek.

“Pas Wilayah Persekutuan juga menyeru supaya masyarakat melihat wajah sebenar DAP yang kononnya menyokong “Rules of Law” sebagai teras undang-undang negara akan tetapi hakikatnya mereka cakap tak serupa bikin!” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Guan Eng mengeluarkan kenyataan mendahului pihak polis dengan mengatakan tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan penglibatan mereka LTTE.

Terdahulu, pihak polis menahan tujuh individu termasuk Exco Melaka, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Polis juga mendedahkan kumpulan pemberontak itu merancang serangan ke atas kedutaaan Sri Lanka di Malaysia.

Dalam pada itu, Azhar juga menyelar sikap pemimpin DAP itu didakwa cuba mengambil alih tugas hakim, peguam dan polis dalam masa yang sama.

“Kenyataan daripada pimpinan utama DAP seolah-olah menyokong perjuangan LTTE melalui tindakan mereka mempertikaikan tangkapan dan siasatan yang dibuat pihak polis.

“Lim Guan Eng cuba menzahirkan sikap sebenar DAP terhadap cara mereka menguruskan negara melalui Kerajaan Pakatan Harapan yang dikuasai mereka,” katanya. – MalaysiaGazette