SHAH ALAM – Penasihat Media Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk A. Kadir Jasin berkata, beliau tidak dapat memberi jaminan penuntut yang mengambil kursus Komunikasi dan Pengajian Media mendapat tawaran bekerja dalam industri media cetak.

Nasihatnya, penuntut berkenaan boleh meneruskan sehingga tamat pengajian, tetapi disarankan menyambung kursus lain yang lebih menjamin masa depan mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Teruskan pengajian dalam bidang komunikasi, tetapi selepas itu sambung belajar kursus lain kerana tidak ada masa depan dalam industri media.

“Kita tidak boleh bernostalgia lagi dengan media cetak. Saya sendiri pun setiap hari baca akhbar, tetapi sekadar muka hadapan, kemudian saya tutup,” katanya sebagai panel Forum Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Diterbit” di sebuah resort di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, A. Kadir yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times (NSTP) berkata, peralihan zaman menyebabkan orang ramai tidak lagi berminat membaca akhbar.

“Anda tidak pernah cuba untuk membentuk akhbar itu sebagai bahan bacaan, sebab itu anda tidak minat, tidak suka baca akhbar,” katanya.

Beliau turut menjawab soalan peserta mengenai peruntukan RM1.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan untuk program pemakanan murid, yang sepatutnya digunakan membeli akhbar.

Soalan itu yang dibangkitkan bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A. Talib, Kadir berkata, peruntukan yang disediakan kementerian itu adalah untuk kesihatan murid.

“Kita tidak boleh persoalkan kenapa peruntukan untuk program pemakanan begitu besar dan elok digunakan untuk membiayai kos akhbar. Ini telah diputuskan dan dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Dalam pada itu, Kadir menyatakan hasratnya yang masih mahu media cetak diteruskan, kerana antara bentuk media yang amat memerlukan ialah buku. – MalaysiaGazette