ACP Mohamad Pajeri Ali

TAWAU – Seorang lelaki dipercayai anggota kongsi gelap daripada pertubuhan diwartakan haram di Malaysia, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Perairan Silam, dekat sini pada Selasa lepas.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, anggota PPM yang menjalankan rondaan rutin terserempak bot pam dikendalikan warga asing berusia 25 tahun itu dalam keadaan mencurigakan pada 5.50 petang.

“Menyedari kehadiran anggota PPM, suspek menukar laluan bot dan memecut laju bot, melarikan diri ke arah Laut Giong, namun berjaya dipintas dan suspek ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, hasil pemeriksaan awal, suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut, menemukan suspek memiliki buku-buku, kad, dokumen keahlian suatu pertubuhan dan suspek mengakui kesemua dokumen berkenaan miliknya.

“Pemeriksaan di badan suspek juga terdapat tanda pengenalan keahlian pertubuhan berkenaan yang merupakan salah satu pertubuhan kongsi gelap yang diwartakan haram di Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata, suspek dan barang rampasan termasuk bot pam dibawa ke Markas Operasi Lahad Datu bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/1963. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.