Datuk Nadzim Johan
Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR –  “Saya trauma. Tidak pernah terfikir dalam hidup saya akan dipenjarakan sekaligus mempunyai rekod jenayah,” demikian luahan seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Jeff, yang berusia 27 tahun.

Jeff terpaksa menjalani hukuman penjara selama empat bulan selepas dijatuhkan hukuman bersalah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan. Dia juga terpaksa membayar denda berjumlah RM14,500 terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, sejarah hitam dalam hidupnya bermula selepas dia memohon pekerjaan sebagai pemandu syarikat yang diiklankan dan ditampal di dinding sebuah restoran di Bangi pada awal April 2018, seterusnyna menyerahkan kad ATM miliknya kepada individu lain.

“Tak sangka, niat untuk mencari kerja yang lebih menjamin kehidupan saya sekeluarga akhirnya menjadikan masa depan saya gelap,” katanya.

Katanya, dia telah menghubungi nombor telefon yang tertera sebelum berjumpa dengan seorang lelaki di sebuah restoran untuk sesi temuduga.

“Lelaki itu beritahu saya diterima bekerja sebagai pemandu syarikat dengan gaji berjumlah RM2,500. Selepas itu, lelaki berkenaan meminta saya membuka akaun bank di CIMB Bank untuk pembayaran gaji.

“Lelaki itu juga memberi saya wang tunai RM250 untuk membuka akaun bank berkenaan selain sentiasa berada di samping saya ketika proses membuka akaun,” katanya.

Jeff berkata, setelah urusan membuka akaun itu selesai, lelaki berkenaan telah meminta kad ATMnya dengan alasan duit syarikat berada di dalam akaun tersebut serta akan memulangkannya semula sebaik saja dia memulakan tugas. Bagaimanapun, selepas dua minggu, lelaki itu gagal dihubungi.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan akaun milik saya tiada wang selain tidak pernah memberi nombor pin kad ATM tersebut,” katanya.

Namun, jangkaannya meleset apabila pada Ogos 2018, dia dihubungi polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu yang memintanya hadir ke IPD berhampiran untuk diambil keterangan kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan wang.

“Saya telah memberi kerjasama dengan menghadirkan diri di Balai Polis Sungai Besi untuk merakamkan percakapan.

“Pada November 2018, polis daripada IPD Langkawi, Kedah pula menghubungi saya dan meminta saya hadir ke IPD berhampiran. Sekali lagi saya ke Balai Polis Sungai Besi untuk diambil keterangan. Namun, saya telah ditahan dan terus dibawa ke IPD Langkawi,” katanya yang ditemui ketika hadir di Biro Pembangunan Sosial (BPS), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Menurutnya, untuk kes di Mahkamah Langkawi, dia telah dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan namun tidak mengaku salah dan mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000.

Bagaimanapun, Jeff gagal membayar ikat jamin berkenaan menyebabkan terpaksa dihantar ke Penjara Pauh, Perlis, sementara menunggu hari bicara.

“Pada hari perbicaraan, saya telah diarahkan oleh Pegawai Penyiasat untuk mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan,” dakwanya.

“Sewaktu menjalani hukuman penjara di Penjara Pauh, Perlis, saya turut dibawa ke Mahkamah Kuala Berang, Terengganu dan Batu Gajah, Perak untuk perbicaraan di sana serta terpaksa mengaku bersalah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dengan denda berjumlah RM14,500,” katanya yang turut memberitahu, ibunya terpaksa meminjam wang daripada saudara mara untuk membayar denda tersebut.

Jeff telah dibebaskan pada bulan Mac lalu namun terpaksa berhadapan dengan dua lagi pertuduhan iaitu di Kelantan dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kepincangan  perlaksanaan  sistem   perundangan   adalah   agenda  nasional yang perlu dikaji semula dan ditangani  segera  bagi  membenteras sindiket penipuan kewangan yang semakin kritikal.

Menurutnya, undang-undang sepatutnya menjaga kemakmuran dan seharusnya menegakkan keadilan bukan sekadar menyiasat kerugian sahaja.

“Undang-undang sepatutnya digunakan untuk mengurangkan kadar  jenayah dan meningkatkan rasa selamat di kalangan masyarakat tetapi sebaliknya, umpama menyediakan   satu ruang yang hampir selesa  untuk  jenayah komersil semakin berleluasa.

“Kita merayu pada pihak berwajib utk mengkaji semula kaedah penguatkuasaan undang-undang ini sekaligus melindungi mangsa keldai akaun yang teraniaya.

“Ini bukan sahaja menyebabkan kerugian negara dari segi kewangan malah kerugian modal insan yang seharusnya menjadi aset yang boleh dibangunkan,” katanya.

Seramai 50 pengadu kes keldai akaun telah datang ke PPIM untuk membuat sekaligus meminta khidmat nasihat. – MalaysiaGazette