Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Pengundi Parlimen Tanjung Piai wajib memberi undi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 16 November ini.

Ini kerana, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pemerintah selepas kejayaannya menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14, bukan saja gagal mentadbir negara, malah kini sedang memberi ruang kepada ideologi ekstremis untuk berkembang di Malaysia.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, sejak lebih satu tahun mentadbir, kerajaan itu mahu memansuhkan semua undang-undang yang dilihat tidak berpihak kepada mereka.

“Saya rasa pelik dengan sikap pemimpin PH, suka memansuhkan semua undang-undang yang ada. Sebelum ini mereka begitu agresif hendak memansuhkan Akta Hasutan, dan kini Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pula.

“Adakah kerajaan PH menyokong dan menggalakkan perkembangan ekstremis dan radikalisasi dengan berusaha untuk memansuhkan Sosma? Jika tiada akta kawalan ini, keselamatan dan kedaulatan negara terus terancam,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu turut membidas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang meminta polis membebaskan semua tahanan di bawah Sosma sama ada berkait dengan kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), IS atau lain-lain tuduhan.

Katanya, sering kali isu penangkapan pemimpin DAP dan rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE sebagai modal politik mereka.

Sebelum ini, ujarnya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy dilihat campur tangan dalam isu berkenaan.

“Terkini Ahli Parlimen Pasir Gudang pula cuba hendak menjadi jaguh kampung dalam isu LTTE ini.

“Apa yang jelas, Sosma kekal relevan untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara termasuk keganasan terancang, perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan memudaratkan ketenteraman awam,” katanya. – MalaysiaGazette