Kamaruzaman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas mencabar sayap Sosialis Muda DAP (DAPSY) memberi kerjasama penuh kepada polis jika benar parti itu tidak ada kaitan dengan penerbitan komik bertajuk Inisatif Jalur dan Jalan (BRI).

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, DAPSY tidak boleh membuat kenyataan penafian semata-mata, sebaliknya perlu tampil untuk membersihkannya.

“Hari ini saya dimaklumkan DAPSY menafikan kononnya penerbitan dan pengedaran komik itu bukan dari DAP.

“Tetapi kalau bukan dari DAP, mereka sepatutnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis supaya dalang yang mengedarkan komik ini dapat ditangkap,” katanya pada sidang media khas selepas membuat laporan di pekarangan Balai Polis Dang Wangi di sini, hari ini.

Menurut Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee, parti itu tidak ada kaitan dengan penerbitan komik Inisiatif Jalur dan Jalan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau dilaporkan berkata, kandungan komik berkenaan juga tidak mencerminkan pendirian DAP mahupun DAPSY. 

“Kandungan komik tersebut adalah perspektif peribadi pengarang hasil inisiatif Asia Comic Culture Museum. 

“Sama ada perspektif tersebut adalah benar atau tidak benar adalah bergantung kepada tafsiran pembaca. 

“Walaubagaimanapun, isi kandungan komik tersebut tidak mencerminkan pendirian DAP mahupun DAPSY,” tegas Howard Lee dalam kenyataannya kepada media, hari ini. 

Sebelum ini, timbalannya, Chiong Yoke Kong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata mempertahankan pengarang komik itu, Hew Kuan Yau yang dikenali sebagai ‘Superman” serta mengkritik Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang melarang pengedaran komik itu ke perpustakaan sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast