Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah telah melantik lima syarikat untuk menjalankan kerja-kerja ukur tanah bagi pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Mukim Sidam di daerah Kuala Muda.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, lima syarikat tersebut ialah jurukur Axis Survey Consultants Sdn Bhd, Zero Degrees Resources Sdn Bhd, Aras, East Coast dan Laruth Exclusive Enterprise.

“Skop kerja yang telah ditetapkan bagi kesemua syarikat itu adalah hanya untuk mengukur sempadan dan memprofil tanah-tanah terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, agensi kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang juga pemilik KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd tidak melantik mana-mana syarikat lain untuk menjalankan sebarang kerja di kawasan tersebut.

Ia termasuk syarikat perunding, IM Global Property Consultants Sdn Bhd yang menurut Mukhriz telah mengadakan taklimat kepada pemilik tanah dari Kampung Jerung, Kampung Tanah Linchin dan Kampung Titi Panjang sebelum ini.

Mukhriz berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang ditimbulkan beberapa pihak di negeri ini berhubung kerja ukur tanah untuk pembangunan KXP.

Menyentuh isu lain, Mukhriz menasihatkan orang ramai agar berurusan dengan Pejabat Tanah Daerah bagi mengetahui status hak milik tanah di negeri ini atau mendapatkan pengesahan geran tanah yang dimiliki.

Katanya, mereka yang layak boleh memohon hak milik atau pajakan tanah kerajaan melalui proses permohonan biasa di Pejabat Tanah Daerah tanpa menggunakan orang tengah bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan penjualan tanah yang menggunakan geran palsu.

Beliau bagaimana pun berkata, kerajaan negeri tidak boleh meluluskan permohonan hakmilik tanah kekal di hutan simpanan kekal yang telah diwartakan. – Bernama