Nusrat Jahan Rafi. foto Agensi

DHAKA – Mahkamah Bangladesh menjatuhkan hukuman mati ke atas 16 suspek yang didakwa membakar Nusrat Jahan Rafi sehingga mati selepas mangsa dikatakan menuduh gurunya melakukan gangguan seksual.

Nusrat, 19, mati pada April lalu di Feni, perkampungan kecil kira-kira 160 kilometer di luar Dhaka.

Pengetua sekolah Nusrat telah dituduh melakukan gangguan seksual dan dua rakan sekelasnya pula antara mereka yang disabitkan kesalahan.

Pembunuhan remaja itu mengejutkan negara dan menyebabkan satu siri protes menuntut keadilan untuk Nusrat.

Perbicaraan kes itu merupakan antara paling pantas dijalankan berbanding kes lain yang mengambil masa bertahun-tahun.

Pendakwa raya, Hafez Ahmed memberitahu wartawan bahawa tiada sesiapa yang akan dikecualikan daripada kes pembunuhan di Bangladesh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh-tertuduh memaklumkan akan membuat rayuan.

Siasatan ke atas kematian Nusrat menunjukkan berlaku konspirasi untuk membunuh mangsa termasuk rakan sekelasnya sendiri dan beberapa orang yang berkuasa dalam kalangan masyarakat.

Tiga guru, termasuk guru besar, Siraj Ud Doula, yang didakwa mengarahkan pembunuhan mangsa dari penjara selepas dia ditangkap kerana disyaki melakukan gangguan seksual didapati bersalah oleh mahkamah pada hari Khamis.

Dua lagi defendan yang disabitkan, Ruhul Amin dan Maksud Alam, adalah pemimpin tempatan parti pemerintah Awami.

Beberapa polis tempatan juga didapati telah bekerjasama dengan mereka yang disabitkan dalam menyebarkan maklumat palsu yang Nusrat telah membunuh diri.

Namun, anggota-anggota polis itu bukanlah antara mereka yang cuba membunuh Nusrat.- MalaysiaGazette