Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan yang terpaksa mengeluarkan satu jadual khas untuk memantau kehadiran ahli-ahli Parlimen amat memalukan.

Pelaksanaan “jadual khas” ini didakwa satu penghinaan kepada ahli-ahli Parlimen dan juga rakyat yang mengundi mereka.

“Adakah wakil-wakil rakyat PH tidak bertanggungjawab dan tidak berdisiplin sehingga satu “jadual khas” terpaksa dikeluarkan? Adakah dasar negara bakal ditentukan orang yang bersikap seperti budak-budak sekolah?

“Ini amat memalukan kepada kerajaan PH!,” kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon sambil menyifatkan kehadiran ahli-ahli Parlimen adalah tanggungjawab mereka kerana sudah diberi mandat dan gaji mereka dibayar oleh rakyat.

Menurut beliau lagi, “jadual khas” tersebut juga dilihat sebagai langkah terdesak untuk mengelak berlaku lagi kekurangan korum dalam Dewan Rakyat.

Mah khuatir “jadual khas” ini akan digunakan sebagai alasan ahli-ahli Parlimen kerajaan untuk mengelak menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

“Adakah ini keutamaan kerajaan baharu? Untuk memaksa wakil rakyat hadir semata-mata untuk memastikan adanya korum sahaja? Nampaknya PH hanya melihat wakil-wakil rakyat mereka sebagai “rubber stamp” sahaja, dan bukannya untuk menjadi suara rakyat.

“Apakah akan berlaku sekiranya ada wakil rakyat yang tidak menghadiri satu sesi Parlimen pun? Jika mandat rakyat boleh dikhianati, apatah lagi janji-janji PH untuk reformasi institusi Dewan Rakyat?,” soalnya. – MalaysiaGazette

 

Syif Dewan Rakyat: Dua menteri lima timbalan perlu hadir mesyuarat