Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berucap pada Syarahan Umum “Kemiskinan, Martabat Insan dan Masa Depan Belia’’ di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak akan menghalang ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk terus ‘bermimpi’ mengharapkan Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus memimpin negara sehingga habis tempoh satu penggal ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, harapan itu adalah hak mereka dan beliau hanya melihat pandangan sekumpulan kecil ahli Parlimen BN itu hanyalah bersifat peribadi malah tidak mewakili parti pembangkang.

“Saya rasa ini adalah pandangan beberapa individu, kenyataan presiden UMNO juga menampakkan tidak semua dalam UMNO setuju dengan tindakan 6 ahli Parlimen tersebut.

“Apa pun itu hak mereka, saya rasa tiada halangan untuk mereka bermimpi untuk mengimpikan sesuatu,” katanya kepada pemberita selepas Syarahan Umum Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini, malam semalam.

Beliau mengulas tindakan 6 Ahli Parlimen UMNO semalam yang tampil memberi sokongan agar Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum seterusnya.

Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Dalam satu sidang media di lobi Parlimen semalam, keenam-enam ahli Parlimen berkenaan berkata, Dr Mahathir perlu terus menjadi Perdana Menteri bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara terus menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, Fahmi juga optimis bahawa pendirian terbuka 6 ahli Parlimen berkenaan tidak akan menjejaskan persepakatan parti komponen dalam PH.

“Kami dalam PH tidak terjejas dengan sebarang kenyataan ataupun sokongan yang dinyatakan cara begitu.

“Muafakat PH jelas, Dr Mahathir telah berkali-kali menempelak usaha untuk wujudkan kerajaan pintu belakang.

“Sekali dalam Kongres Maruah Melayu itu sendiri, beliau tidak menyampaikan amanat yang diharapkan oleh sesetengah pihak.

“Hari kemudiannya beliau telah menolak pelawaan daripada timbalan presiden UMNO untuk membentuk satu kerajaan.

“Bila Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tulis tentang satu konsep Bangsa Malaysia kononnya, Dr Mahathir sekali lagi mengatakan tidak,” katanya.

Fahmi percaya bahawa rancangan peralihan kuasa Perdana Menteri akan kekal sebagaimana yang dipersetujui dalam Majlis Presiden PH sebelum ini sambil menyifatkan pendirian Dr Mahathir dalam hal ini sebagai konsisten.

“Apa pun tempoh, saya rasa yang penting pada waktu ini kita sedar masalah yang dihadapi negara dan usaha pihak kerajaan yang kita lihat dalam Belanjawan 2020 yang rata-rata penerimaannya cukup baik.

“Saya lihat yang disebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga yang telah diulangi acap kali oleh Dr Mahathir cukup jelas.

“Cuma bisikan-bisikan dan usaha-usaha nakal oleh sesetengah pihak ini kita terima sebagai rencam dan resmi hidup berpolitik dalam suasana demokrasi yang lebih terbuka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette