Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Tindakan penganalisis dasar awam, Dr Lim Teck Ghee menyifatkan Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH) sebagai bencana yang tidak terkawal sebagai tindakan tidak bermaruah.

Kenyataan itu didakwa dibuat tanpa pertimbangan bahawa kerajaan PH baru sahaha mengambil tampuk pentadbiran selama 1 tahun 5 bulan.

Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin berkata. sejak diberi amanah, beliau dan rakan-rakannya bekerja kuat tanpa mengenal erti lelah demi matlamat mahu memulihkan negara.

“Sejak PH diberikan mandat oleh rakyat untuk memperbaiki dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah kembali, pelbagai usaha sudah dilakukan.

“Hakikatnya ia bukanlah tugas mudah yang boleh dilakukan dalam sekelip mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Berbanding dengan kerosakan dibuat pentadbiran dahulu, adalah tidak wajar seorang penganalisis dasar awam mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang kajian kukuh, menjadikan pandangannya tidak boleh diguna pakai.

Tambahnya, PH sebagai Kerajaan Persekutuan sudah memberi jaminan bahawa keharmonian dan kedudukan agama Islam, bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu akan terus terbela, tanpa mengabaikan kedudukan kaum-kaum lain di seluruh negara.

Teck Ghee dalam kenyataannya berkata, Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai “bencana tidak terkawal’.

Bercakap dalam forum “Whiter Maruah Malaysia 2.0”, beliau berkata, kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan hari ini semakin berkembang.

“Buat masa ini, adalah jelas pasca PRU14 sebagai bencana, ia merupakan satu bencana sepenuhnya bagi pembaharuan dari mana-mana aspek atau cara pun anda melihat.

“Pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kegagalan daripada Icerd, Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan banyak lagi. Senarai kekecewaan dan kegagalan politik terus meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette