Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia, A'zlan Abu Bakar (tengah) berucap ketika membuat demonstrasi jelajah tuntut kebenaran di hadapan Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Tindakan mana-mana wakil rakyat yang mengumumkan keluar parti atau menyokong secara terbuka sama ada kepada kerajaan mahupun pembangkang disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada mandat rakyat pada PRU14 lalu.

Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), A’zlan Abu Bakar sebaliknya berkata, sewajarnya ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat tidak membuat keputusan yang merugikan rakyat dan negara.

“Tuntut menegaskan supaya diserahkan semula mandat memilih ADUN atau Ahli Parlimen kepada rakyat, bukan dengan cara wakil rakyat melacurkan sistem demokrasi yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU14 lepas.

“Ia bertambah buruk apabila kenyataan ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liew Tian Khiew telah mengundang perpecahan wakil rakyat daripada parti pemerintah.

“YB Ronnie tidak sepatutnya mengatakan Pakatan Harapan (PH) boleh membentuk kerajaan pusat dan mempunyai majoriti kerusi tanpa Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, wakil rakyat Bersatu, merangkap ADUN Jeram, Shaid Rosli terkesan dengan kenyataan Liew itu menyebabkan beliau secara terbuka mahu kedudukan kerusinya di dalam DUN Selangor diubah ke tempat pembangkang (UMNO).

Selain di Selangor, langkah itu turut diikuti oleh enam ahli Parlimen UMNO pada Rabu lalu yang tampil memberi sokongan agar Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum seterusnya.

Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Dalam perkembangan sama, A’zlan turut memuji sikap Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail yang menyambut baik hasrat wakil rakyat kerajaan itu jika benar beliau sedia keluar daripada PH.

“Tindakan itu amat dialu-alukan demi kepentingan rakyat selangor yang harus diperjuangkan terutamanya kebajikan rakyat perlu sentiasa dijaga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa gabungan parti kerajaan hari ini memberikan kata dua sama ada mereka ingin terus membentuk kerjasama sebenar ataupun mengembalikan mandat memilih kerajaan kepada rakyat semula.

“Ini adalah demi kepentingan dan juga kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi dan juga semua parti-parti politik di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette