KUALA TERENGGANU – “Sekiranya DAP melihat UMNO dan Pas di Terengganu sehebat ini, pasti mereka tidak tidur lena dan terketar-ketar.”

Itu gambaran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa berucap program Himpunan Penyatuan Ummah peringkat negeri Terengganu di sini malam tadi.

Menurut beliau, sebelum ini terlalu banyak khabar angin yang mengatakan UMNO dan Pas Terengganu sukar untuk mencapai kata sepakat namun ini semua terbukti salah apabila stadium negeri dipenuhi dengan ahli kedua-dua parti.

“Sebab itu kerjasama UMNO dan Pas harus dikekalkan. Jangan ungkit lagi cerita lama kerana sekiranya diungkit sampai bila pun tidak selesai dan akhirnya akan berpecah dan inilah yang mereka mahukan.

“Kita tidak boleh biar kerajaan DAP terus memerintah sebab kalau mereka kekal pada pilihan raya akan datang, percayalah Islam dan Melayu tidak akan dapat kita kembangkan dan Islam akan terus dipinggirkan dari negara ini,” ujar beliau ketika berucap dalam program tersebut di sini Jumaat malam seperti laporan UMNO Online.

Tambah Ahmad Sabri, ini terbukti apabila mereka cuba menerapkan idealogi di kalangan pelajar melalui pengedaran buku komik yang mempromosikan idealogi komunis.

“Kalau kita tidak tentang isu ini di Parlimen sudah tentu ia akan terus tersebar. Begitu juga hubungan mereka dengan LTTE.

“Dulu mereka kata kalau UMNO dan Pas bekerjasama maka akan wujud pemerintahan seperti Taliban tapi rupanya mereka yang menaja pengganas sehingga ada exco mereka ditangkap.

“Hari ini pemimpin DAP desak kerajaan haramkan SOSMA hanya kerana pemimpin mereka ditangkap. Ini bermakna jangan tangkap pemimpin mereka walau ada hubungan dengan pengganas. Inilah rupa kerajaan yang ada,” bidasnya.

Justeru jelas beliau, UMNO dan Pas tiada pilihan selain mesti bersatu demi Islam dan Melayu.

“Sekarang kita lihat Islam diancam, umat Melayu diancam, hak orang Melayu diancam dan penghinaan kepada Islam dilakukan secara terbuka. Dulu ini semua tidak berlaku tapi ia berlaku selepas kerajaan Melayu Islam tumbang selepas Mei 2018,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast