Gelagat seorang pelancong luar negara berswafoto berlatarkan belakang pelbagai jenis bunga kalung yang digantung sempena sambutan Hari Deepavali yang bakal tiba ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2019

SETIAP kali datangnya musim perayaan, kita pasti menganggapnya hari kegembiraan bersama. Kali ini penganut agama Hindu bergembira menyambut perayaan Deepavali atau Pesta Cahaya.

Bagi mereka, perayaan ini juga menandakan kemenangan golongan yang baik menumpaskan puak yang jahat.

Seperti kelazimannya, komuniti India di Malaysia secara amnya dan beragama Hindu menyambut perayaan ini dengan pakaian indah, menyediakan juadah yang enak, bersembahyang, berdoa dan mengunjungi keluarga serta rakan-rakan.

Namun, sudah pula menjadi kebiasaan, rakan-rakan berlainan agama dan keturunan bersama memeriahkan tradisi perayaan ini.

Mereka pun menghulurkan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali dan ada juga yang mengunjungi kenalan masing-masing bagi mengeratkan persahabatan dan tanda saling menghormati.

Itulah tanda muhibah yang terjalin sejak sekian lama dalam keluarga besar bangsa Malaysia.

Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Murut, Iban dan etnik lain yang bersepah-sepah di sana-sini hidup dalam kerukunan.

Masing-masing ada kepercayaan, keyakinan, adat-resam, budaya dan cara hidup.

Dalam kepelbagaian, kita bersatu. Inilah resipi kejayaan dan kestabilan kita sebagai sebuah keluarga besar bangsa dan negara Malaysia.

Maka, apakah masalahnya jika masih wujud kesangsian keharmonian hidup kita sebagai satu bangsa.

Malah, agak mengkhuatirkan bila seorang ahli akademik yang juga pakar di dalam bidang anti-keganasan memberi amaran bahawa jika tidak dibendung atau dikekang bahang pergeseran seperti sekarang ini, konflik 13 Mei 1969 boleh sahaja berulang.

Malapetaka dan musibah yang harus dijauhi sama sekali.

Apa faedahnya sebuah malapetaka dan musibah atas nama perkauman yang hanya merosakkan keseimbangan sosial, ekonomi, politik, dan kerukunan hidup bernegara?

Sudah begitu jauh sekali kita melangkah membina sebuah negara besar, hebat dan bermaruah sejak merdeka pada tahun 1957. Daripada sebuah negara berasaskan pertanian, Malaysia kini muncul sebagai negara moden yang maju bertumpu kepada perindustrian dan memasuki fasa Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Kita juga telah menyaksikan betapa peralihan kuasa dari kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei 2018 berjalan sempurna, lancar dan teratur biar pun satu dunia terkejut dan terkedu ketika itu.

Nyata kewarasan, kebijaksanaan, tolak-ansur dan kesederhaan menjadi pegangan kita rakyat Malaysia sejak sekian lama. Bila tiba sesuatu perayaan seperti Deepavali, semangat rakyat Malaysia yang bersatu padu, mementingkan muhibah dan persaudaraan jelas tergambar.

Begitu juga bila tibanya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, perayaan Krismas, kita ibarat satu keluarga yang saling menghormati dan menyayangi.

Penulis kini bertugas di sebuah institusi pendidikan tinggi swasta yang sepenuhnya milik pelabur asing dari India.

Suasana kerja di dalam organisasi ini menggambarkan sebuah kepelbagaian bangsa, keturunan, agama dan budaya berbeza.

Namun, sejak terbina kira-kira sembilan tahun lalu, tiada pula konflik antara kaum yang wujud sama ada sesama warga kerja atau pelajar-pelajarnya. Boleh sahaja mereka duduk semeja menikmati sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang sekalipun yang duduk semeja itu ada Melayu, India dan Cina.

Boleh sahaja mereka saling menghormati atas memelihara halal haram di dalam bab makanan dan minuman. Tiada pula perasaan warga kerja beragama Islam menganggap ‘holier than thou’ atau wujudnya penindasan dan diskriminasi kaum oleh pihak yang berbeza keturunan.

Malah dalam acara rasmi universiti walaupun majoriti warga kerja dan pelajar adalah bukan Islam, majlis dimulakan dengan bacaan doa. Jika tertinggal bacaan doa, majlis seolah janggal dan terasing.

Semua sambutan perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina disambut secara rasmi di peringkat universiti. Meriah dan masing-masing saling bergembira.

Kutipan dilakukan bagi menjalankan projek atau aktiviti khidmat sosial, lazimnya menziarahi rumah anak yatim dan orang tua tanpa mengira agama dan keturunan. Semua saling sokong menyokong.

Masing-masing pandai mengawal diri, tertib dan yang penting sentiasa menghormati. Itulah keindahan hidup di dalam kerukunan dan kedamaian, bersatu dalam kepelbagaian.

Inilah resipi kejayaan Malaysia selama ini dan ia wajar sekali dipertahankan.

Jika tolak ansur, menghormati dan muhibah sentiasa hidup subur, rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Malaysia tiada sebab untuk bertelagah.

Hanya ketidakwarasan, kebinggunan dan melupakan asas-asas pembinaan negara bangsa akan memusnahkan kita sebagai satu bangsa.

Selamat Hari Deepavali kepada rakan-rakan yang menyambut perayaan ini. Kita sayangi Malaysia!

Mohd Shah Abdullah

Mohd. Shah Abdullah adalah Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi Manipal International University (MIU), Nilai. Bekas wartawan dan pentadbir universiti selama kira-kira 30 tahun kini pendidik jurusan komunikasi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast