Datuk Dr Zainal Kling

KUALA LUMPUR – Sekretariat Kongres Maruah Melayu (KMM) tidak pernah menghina apatah lagi memperlekeh masyarakat bukan Melayu  di negara ini sepanjang penganjuran program itu  Oktober lalu.

Ketua Eksekutifnya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling yang dipanggil ke Bukit Aman semalam berkenaan kongres yang sama menegaskan, program itu hanya mengingatkan warganegara Malaysia tentang kewajipan mereka menghormati institusi Melayu dan Islam yang sedia ada termaktub dalam Perlembagaan.

“Kita tidak pernah memaksa, apatah lagi nak mencerca, nak memburuk-burukkan, nak mengecil-ngecilkan sebarang kelompok (kaum) warganegara kita.

“Kita menyeru, memperingati semua sama ada hadir pada masa itu atau mendengar ucapan kongres itu, supaya kembali meneliti sebaik-baiknya tentang perpaduan, obligasi dan tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia yang berpunca daripada rakyat Tanah Melayu.

“Sekarang kita jadi Malaysia, maka oleh kerana persoalan ini adalah persoalan semasa, masa ini, maka sekaligus berkaitan dengan warganegara Malaysia seluruhnya.

“Jadi bukanlah kita mengatakan Melayu itu sebagai mendominasi, apatah lagi memiliki Malaysia, tidak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Zainal selaku Pemegang Kerusi Majlis Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) diambil keterangan hampir dua jam oleh polis Bukit Aman.

Ini bagi membantu siasatan polis berhubung ucapannya pada program KMM di Shah Alam, 6 Oktober lalu yang didakwa berbaur perkauman.

Zainal disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berikutan laporan polis oleh Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, 7 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Zainal juga menegaskan kepada pihak berkuasa, ucapannya dalam program itu hanya menuntut hak orang Melayu dan Islam seperti mana yang dijamin oleh Perkara 3 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Melayu itu asalnya bumiputera Tanah Melayu, apabila menjadi Malaysia, kedudukan Melayu itu masih dalam Perlembagaan sebagai istimewa, apatah lagi sudah dimasukkan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Kita juga masih memelihara komuniti-komuniti lain dan kepentingan-kepentingan mereka, kita amat jelas tentang ini.

“Kita tidak menuntut selain daripada apa yang diperuntukkan (Perlembagaan), apatah lagi peruntukan mengenai agama Islam, bahasa kebangsaan dan tanah rizab Melayu,” katanya.

Menurut Zainal, resolusi daripada empat universiti tempatan dan majlis peguam Islam juga dibincangkan mengikut peruntukan Perlembagaan.

“Barangkali sudah mencukupi untuk kita memperingatkan diri kita untuk mengkaji sebaik-baiknya dan menyatakan ketaatsetiaan kita berdasarkan Perlembagaan itu.

“Ini yang saya tegaskan dalam ucapan itu kerana obligasi, tanggungjawab dan janji kita sebagai warganegara Malaysia itu bukan sekadar kewajipan tetapi juga kemuliaan yang diberi kepada kita.

“Segi agama pun, janji itu adalah kemuliaan, agama sendiri mengingatkan kita supaya kita memenuhi janji, tidak mungkir janji.

“Kerana itu kemuliaan kita kepada tuhan, bila berjanji dalam Islam itu berjanji kepada tuhan, kerana itu tuhan memuliakan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Zainal Kling hadir beri keterangan di Bukit Aman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast