GEORGE TOWN – Seorang wanita warga China yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh penunggang motosikal hingga menyebabkan pembantu kesihatan awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) maut semalam, direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, pihaknya mendapat perintah reman daripada mahkamah terhadap wanita berusia 24 tahun itu bagi membantu siasatan lanjut kemalangan tersebut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk melangkapkan kertas siasatan kes kemalangan itu untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kalau semua selesai, kemungkinan wanita itu didakwa di mahkamah Selasa ini,” katanya, di sini hari ini.

Katanya, kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, polis turut menahan pemilik kereta itu namun lelaki itu telah dibebaskan dan polis mengeluarkan saman mengikut Seksyen 26 APJ 1987.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi semalam, Mohaidin Gani Mohamad, 58, maut selepas motosikal ditunggang dirempuh Honda Accord dipandu wanita itu berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan kenderaan dipandu wanita itu tidak berhenti sebaliknya merempuh dua motosikal dan sebuah kereta yang sedang berhenti di lorong tengah.

Siasatan awal mendapati pemandu wanita berkenaan mabuk namun polis masih menunggu ujian sampel darah bagi mengetahui kandungan alkohol dan dadah yang dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast