Md Fauzi Md Tamaji. foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kapten Md Fauzi Md Tamaji, individu yang disebut-sebut sebagai calon pilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai terperanjat dengan khabar angin itu.

Beliau memaklumkan tidak tahu apa-apa mengenainya dan mengetahui namanya disebut apabila dimaklumkan oleh rakan-rakan.

“Mana saya tahu, saya pun terkejut,” kata Md Fauzi yang merupakan ahli Bersastu kepada MalaysiaGazette.

Sebelum ini, media melaporkan Md Fauzi dijangka dipertaruhkan oleh Bersatu untuk kerusi Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pada bulan depan.

Pemilihan Md Fauzi didakwa berdasarkan pengalaman politiknya yang pernah bekerja di belakang tabir ketika bersama UMNO.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, Bersatu masih belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

“Belum ada hitam putih, kena tunggu Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih berada di luar negara,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Beliau turut menyifatkan pendedahan nama Md Fauzi sebagai spekulasi, memandangkan, selain nama Kapten Md Fauzi Md Tamaji, ada beberapa nama lain yang sudah disenarai pendek oleh parti.

Jadi, ujarnya, terpulang kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan nanti kerana nama-nama yang berada dalam senarai pendek belum dipanggil lagi.

Yang pasti, menurut beliau, calon yang dipilih Bersatu bebas daripada rekod lampau yang boleh menjejaskan nama parti tersebut. – MalaysiaGazette