Kakitangan Prolintas sedang mengecat rumah kebajikan warga emas bagi meraikan sambutan Deepavali.

KUALA LUMPUR – Bersempena dengan sambutan Hari Deepavali, Kumpulan Syarikat Prolintas telah menjalankan aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengadakan program gotong royong di rumah kebajikan warga emas di sekitar jajaran lebuh raya-lebuh raya kendaliannya.

Program itu disertai lebih 100 orang warga kerjanya di empat buah rumah kebajikan iaitu Noble Care Home (Rawang), Ebeenezer Home Seri Muda (Shah Alam), Damai Home Care (Ampang) dan Rumah Seri Kenangan (Kajang).

Penyertaan kakitangan Prolintas dari kesemua lebuh raya seperti AKLEH, GCE, LKSA, SILK, SUKE dan DASH telah bergotong-royong mencuci kawasan rumah dan membaiki peralatan yang rosak.

Selain itu, kerja-kerja mengecat dan pemasangan jaring tingkap turut dibuat bagi bertujuan memberikan keceriaan sambutan Deepavali di kalangan penghuninya.

Program gotong royong di rumah warga emas ini adalah kesinambungan agenda CSR Prolintas yang dijalankan sepanjang tahun. – MalaysiaGazette