Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau secara berterusan terhadap impuriti N-Nitrosodimethylamine (NDMA) paras rendah di dalam produk-produk ubat Ranitidine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemantauan dilakukan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin dengan kerjasama syarikat pemegang pendaftaran produk.

Katanya, tindakan regulatori ke atas produk-produk tersebut akan ditentukan setelah penilaian semula selesai dijalankan dan perkara ini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

“KKM telah menerima makluman daripada Health Science Authority (HSA) Singapura berkenaan pengesanan impuriti NDMA paras rendah di dalam produk-produk ubat Ranitidine.

“Sehingga kini, hanya negara Singapura sahaja yang telah membuat tindakan memanggil balik bagi lapan jenama produk Ranitidine yang terlibat.

“Pihak European Medicines Agency (EMA) dan US Food Drug Authority (USFDA) masih meneliti dan menilai produk-produk tersebut.” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ranitidine adalah ubat yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami pedih ulu hati dan ulcer perut dengan cara mengurangkan kadar pengeluaran asid di dalam perut.

Ia biasanya digunakan dalam jangka masa pendek iaitu beberapa hari sehingga beberapa minggu.

Ranitidine boleh diperolehi dengan preskripsi doktor atau dibeli daripada ahli farmasi berdaftar.

Berdasarkan International Agency for Research on Cancer (IARC), NDMA boleh meningkatkan risiko terjadinya kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

“KKM memandang serius perkara ini, walaupun risiko mendapat kanser akibat daripada penggunaan ubat ranitidine (yang berkemungkinan mengandungi NDMA) dalam jangka pendek adalah sangat rendah,” kata Noor Hisham lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast