Sebuah kapal yang terlibat misi mencari dan menyelamat helikopter, H225 Super Puma, yang terhempas berhampiran Pulau Dokto.

SEOUL – Misi menyelamat Korea Selatan tidak menemui sebarang petanda keberadaan tujuh orang yang hilang selepas sebuah helikopter Airbus terhempas di perairan Pulau Dokto lewat petang semalam, kata para pegawai.

Helikopter Airbus, H225 Super Puma milik jabatan bomba Korea Selatan membawa seorang kelasi yang cedera ke hospital apabila ia terhempas sejurus selepas berlepas dari Dokto, kata para pegawai Ibu Pejabat Perkhidmatan Bomba Gyeongbuk.

Kementerian Pertahanan berkata, pihaknya telah menghantar kapal, pesawat dan penyelam untuk mencari tujuh individu itu, namun setakat ini usaha tersebut menemui kegagalan. Satu serpihan yang disyaki serpihan helikopter itu telah ditemui, lapor agensi Yonhap.

Helikopter tersebut mula beroperasi pada 2016 dan ia dikendalikan oleh dua krew veteran, kata Yonhap seperti dipetik Reuters. Selain itu, tiga anggota jabatan bomda, seorang pesakitĀ  dan individu lain berada dalam helikopter berkenaan.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mengarahkan helikopter jenis itu diperiksa, dengan model yang sama terhempas di Laut Utara, Norway pada 2016 menyebabkan 13 pekerja syarikat minyak terbunuh.

Kemalangan tersebut menyebabkan kebanyakan helikopter model itu digantung perkhidmatan di seluruh dunia dan menyaksikan Airbus SE menukar kotak gearnya.

“Kami sedar apa yang telah berlaku dan kami bersedia untuk menyokong pelanggan kami dan pihak berkuasa jika mereka memerlukan bantuan,” kata jurucakap Airbus yang berpengkalan di Perancis.

Model H225, sebelum ini dikenali Eurocopter EC-225, merupakan helikopter mencari dan menyelamat jarak jauh yang sesuai digunakan dalam semua keadaan cuaca. – Agensi