Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin akan menepati sasaran defisit fiskal sebanyak RM52 bilion atau 3.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan sahaja berdasarkan prestasi awam tetapi juga termasuk penilaian oleh para pelabur dan agensi penarafan kredit antarabangsa.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan telah merancang aktiviti pembiayaannya secara tahunan dan sebarang analisa dari bulan ke bulan perlu mengambil kira belanjawan tahunan supaya kesimpulan yang tepat dapat dicapai.

Jelas beliau, berdasarkan kepada anggaran tahunan 2019 dan rancangan pembiayaan yang terbaharu, Kerajaan akan menerbitkan RM135 bilion hutang langsung sambil menebus RM83 bilion.

“Oleh demikian, hutang langsung bersih yang akan diterbitkan untuk seluruh tahun 2019 adalah RM52 bilion.

“Rancangan pembiayaan ini adalah seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2019 dan diluluskan oleh Parlimen tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng menambah, secara khususnya bagi bulan Oktober 2019, Kerajaan telah menerbitkan hutang langsung bernilai RM10 bilion.

Menurutnya pada bulan sama, sebanyak RM11.8 bilion hutang langsung telah ditebus semula.

Ujar beliau, ini bermakna penerbitan bersih hutang langsung bagi bulan tersebut adalah RM1.8 bilion.

“Sesiapa yang mendakwa sebaliknya barangkali merupakan pembohong tegar, jahil atau tidak mampu membaca data kewangan secara tepat.

“Untuk dua bulan terakhir 2019, Kerajaan merancang untuk menerbitkan RM14.2 bilion hutang langsung sambil menebus semula RM21.6 bilion.

“Dengan ini, penerbitan bersih hutang langsung dalam tempoh November-Disember 2019 adalah RM7.4 bilion,” katanya.

Guan Eng turut memberitahu aktiviti pembiayaan Kerajaan bagi tahun ini sedang berlangsung seperti dirancang.

Kata beliau, ini dibuktikan dengan aktiviti penerbitan dan penebusan sebenar sehingga Oktober lalu.

“Kerajaan tidak berniat untuk mengubah rancangan pembiayaannya untuk bulan November dan Disember 2019.

“Oleh itu, kerajaan yakin akan menepati sasaran defisit fiskal 2019 berjumlah RM52 bilion atau 3.4 peratus berbanding KDNK.

“Ini adalah lebih rendah berbanding defisit fiskal 2018 sebanyak RM53.4 bilion atau 3.7 peratus berbanding KDNK,” ujarnya.

Guan Eng memaklumkan keyakinan itu dikongsi oleh agensi penarafan kredit antarabangsa yang telah mengesahkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada paras A- atau A3 dengan unjuran stabil sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pada tahun 2018.

“Kerajaan sentiasa mengamalkan transparensi dalam pentadbiran dan akan terus telus dalam melaporkan kedudukan fiskalnya secara menyeluruh,” tegasnya. – MalaysiaGazette