Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (tiga kanan) diiringi Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jack Seng (kanan), Calon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar (kiri), Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam (dua kiri), Calon Bebas, Ang Chuan Lock (tiga kiri) dan Calon Berjasa, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (dua kanan) bergambar sambil mengangkat tangan pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Calon pembangkang Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng diramal mempunyai kelebihan dan berpeluang cerah untuk menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai 16 November ini.

Itu pendapat beberapa pengundi di kawasan parlimen itu serta daerah berhampiran yang menjangkakan pemimpin MCA tersebut mampu mengenepikan saingan lima penjuru termasuk calon Pakatan Harapan.

Selain pengalamannya sebagai penyandang selama dua penggal antara 2008 hingga 2018, aura dan sentimen BN sebagai pemerintah dahulu diakui masih kebal di kawasan Parlimen itu.

Seorang pesara kerajaan, Sulaiman Harun, 77 yang merupakan pengundi Tanjung Piai dari Pekan Nanas berkata, BN akan menang pada Sabtu minggu hadapan.

Temubual bersama penduduk, Sulaiman Harun sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2019.

“BN akan menang cemerlang. sekrang kerajaan PH janji banyak tapi tidak ditunaikan dan banyak perkara saya rasa rakyat tidak berpuas hati,” katanya.

Manakala Salleh Musa, 57, pemandu van kilang dari Kampung Sawah Batu 4, Pekan Nanas turut menjangkakan calon dari MCA itu mempunyai berkelebihan untuk merampas kembali kerusi Parlimen itu.

“Ini kerana pada masa dua penggal lepas dia dan jenteranya tinjau rumah ke rumah setiap rakyat dengan permasalahan. Maksudnya dia sentiasa kerja turun padang bersemuka rumah ke rumah.

Temubual bersama penduduk, Salleh Musa sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2019.

“Macam saya sakit perlukan bantuan, dia datang ke rumah dan hulurkan bantuan di tangan saya… dalam politik semua boleh cakap prihatin, tetapi dia (Jeck Seng) itu ada prihatin terus jumpa dan cakap serupa bikin berbanding yang lain.

“Namun Jeck Seng 100 peratus tak lah, kemungkinan menang pun tak banyak, kalah pun tak banyak. Menang tipis macam bola 1-0 atau 2-1 manakala empat lagi (calon) itu bazir sahaja buat apa nak kacau biarlah mereka (BN-PH) lawan,” ujarnya.

Tambah beliau, setakat ini penduduk tidak berdepan masalah besar di kawasan Pekan Nanas dan kerajaan negeri PH pun baik, cuma masalahnya pemimpin kawasan kadang-kadang tidak kena tempat.

Menurutnya, kerajaan negeri bawah PH tidak bermasalah sehingga kini kecuali pemimpin sesebuah kawasan itu.

“Yeo Tung Siong berapa lama jadi ADUN Pekan Nanas tetapi tak pernah dijumpai setakat ini. Sawah Batu 4 dibawah DUN dia tak jauh pun.

“Tapi Wee tanpa diundang dia ikhlas akan turun jumpa pengundinya. Ssaya dua tahun lalu sebelum PRU14 terlibat kemalangan dan kehilangan kaki, Wee datang ziarah saya secara mengejut dan dia dapatkan maklumat dari kenalan tentang nasib malang saya dan hulurkan bantuan,” katanya.

Temubual bersama penduduk, Wah Swee Koon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2019.

Justeru seorang ejen pekerja asing dari Kluang berkata, BN selaku kerajaan yang mempunyai rekod perkhidmatan lama berpeluang untuk menang kali ini selain aura serta sentimennya masih kuat dalam kalangan pengundi tempatan.

“Wee saya tak kenal secara peribadi tetapi banyak baca dalam akhbar dan berita online mengenainya serta sumbangannya sebelum ini.

“Saya rasa dia berpeluang besar tetapi tidak pasti berapa peratus,” ujar Wah Sweee Koon, 55 kepada MalaysiaGazette.

Manakala ahli perniagaan yang juga pengundi Pekan Nanas Zulizan Amit, 44, turut meramalkan calon BN mampu merampas kerusi itu berdasarkan momentum kerajaan hari ini yang lemah sehingga membuka ruang kepada BN.

Beliau turut membidas empat lagi calon bertanding kerana mereka tidak perlu kacau dua parti utama itu bersaing sambil menegaskan, Gerakan bukan pengugat utama pada pilihan raya itu kerana kurang pengaruh di Tanjung Piai.

“Sebabnya hari ini semua rakyat melihat dan membaca apa yang berlaku pada kerjaaan hari ini sangat lemah. Rakyat telah mencuba dan terbukti memang kerajaan tak boleh buat sebaik apa yang BN buat sepanjang pemerintahan sebelum ini,” katanya.

Temubual bersama penduduk, Zulizan Amit sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2019.

Ditanya pendirian kebanyakan pihak bahawa prestasi kerajaan yang baru berusia setahun setengah seperti ‘bayi merangkak’ tidak boleh dinilai pencapaiannya, Zulizan berkata, apa yang dilihat hari ini di bawah kerajaan baharu adalah hasil peninggalan kerajaan lama.

“Memang betul sebenarnya menjadi kerajaan kita tak boleh lihat sesuatu benda yang telah jadi baik. Kita kalau nak jadi baik hari ini, esok kena baik dari hari ini, kalau esok terburuk daripada semalam ia akan jadi celaka dalam hidup.

“Sebab saya lihat dan tidak bandingkan dengan kerajaan hari ini. PH kena fikir apa yang ditinggalkan kerajaan lama dilihat sekarang yang mana ini bukan usaha kerajaan baharu contohnya seperti Klinik Kesihatan Pekan Nanas adalah usaha kerajaan lama menerusi calon BN, Wee Jeck Seng hasil perjuangan penduduk di sini bukan cerita politik parti atau kerajaan baharu.

“Hari ini kerajaan banyak bercerita mengisahkan buruk orang lama dan ini saya memang sangat tak setuju. Ceritalah benda baik, bukannya benda buruk melibatkan seseorang iaitu Najib. Tak kan disebabkan seorang mahu korbankan rakyat,” katanya.

Temubual bersama penduduk, Maziah Salir sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pekan Nanas, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2019.

Bagaimanapun seorang suri rumah dari Pekan Nanas Maziah Salir, 40 pula berpendapat calon PH, Karmaine Sardini boleh menang berbanding jangkaan pengundi lain yang memilih calon BN.

“Kita tengok bagaimana Pakatan Harapan buat kerja dan di Sabah saya undi BN tetapi di sini PH pemberi kemudahan kepada penduduk, terbaharu allahyarham Dr Md Farid Md Farik menyediakan kemudahan Dewan Orang Ramai untuk penduduk Kukup dan beliau seorang vokal.

“Maka saya rasa PH berpeluang menang dan meneruskan tradisinya terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya.-MalaysiaGazette