Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan sentiasa mengambil kira kadar pertukaran mata wang asing serta kos pembiayaan sebelum memuktamadkan terbitan bon samurai siri kedua, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Katanya, ini bagi memastikan kos kewangan adalah kompetitif dan tidak membebankan kerajaan.

“Keperluan pembiayaan kerajaan persekutuan diperolehi melalui penerbitan bon dan sukuk kerajaan daripada sumber dalam dan luar negeri, sejajar dengan peraturan kewangan yang telah ditetapkan seperti yang termaktub dalam Akta Pinjaman Tempatan 1959, Akta Pendanaan 1983 dan Akta Pinjaman Luar Negerri 1963.

“Pinjaman hanya dibuat untuk membiayai pembelanjaan pembangunan dan pembiayaan semula hutang yang telah matang, ” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) berkaitan tujuan penerbitan bon samurai kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Amiruddin berkata perbelanjaan pembangunan merangkumi projek serta program pendidikan, hospital, jalan dan akses utiliti.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan mengenai tawaran kerajaan Jepun mengenai penerbitan bon samurai siri kedua dengan kadar faedah yang lebih rendah iaitu kurang 0.5 peratus berbanding 0.63 peratus sebelum ini.

Sementara itu, Amiruddin memberitahu sebelum kerajaan menerbitkan hutang, ianya dibuat berdasarkan perancangan yang dibuat lebih awal selain pada masa masa sama menebus semula hutang lama.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Hasan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkaitan kesahihan statistik bon kerajaan yang diterbitkan oleh Putrajaya pada 2019 seperti yang dilaporkan akhbar tempatan (Theedgemarket, 14 Okt).

Kata Amirrudin,  antara Januari hingga Ogos 2019, terbitan hutang adalah sebanyak RM102.2 bilion, manakala hutang yang ditebus pada tempoh yang sama adalah RM38.8 billion, dan menjadikan penerbitan bersih sebanyak RM63.4 bilion.

“Kalau jumlah hutang RM102.2 bilion sahaja diambil dan mengatakan bahawa kita berhutang lebih dari apa yang diisytiharkan dalam Parlimen, itu bertujuan mengelirukan orang ramai,” katanya.

Mengulas lanjut, bagi tempoh September hingga Disember 2019, kerajaan akan menerbitkan bon sebanyak RM33.5 bilion dan pada masa sama menebus hutang berjumlah RM44.5 bilion, katanya.

“Ini menjadikan jumlah bersih hutang yang ditebus lebih dari apa (jumlah) yang kita keluarkan..Jadi semua yang kita buat (terbitan hutang) adalah mengikut plan yang rapi.

“Jadi tidak ada yang kita buat hutang melebihi apa yang dinyatakan dan apa yang dipersetujui dalam dewan Parlimen,” tambahnya. – MalaysiaGazette