Datuk Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Perjanjian dalam piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani pada 14 September lalu memperuntukkan syarat agar Pas dan UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding sesama sendiri lagi pada atau sebelum PRU-15.

Demikian menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Justeru itu, apabila kedua-dua parti sudah sebulat suara untuk memberikan laluan kepada MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) untuk sebagai calon di PRK Parlimen Tanjung Piai maka UMNO dan Pas tidak akan mengambil bahagian dalam perebutan kerusi itu.

“Kita sudah ada persefahaman dalam Muafakat Nasional yang gariskan bahawa kita tidak akan melawan sesama sendiri dengan BN.

“Kalau kerusi itu ditandingi oleh Pas, Pas nak letak Berjasa atau Ikatan sekalipun, BN tidak boleh kata apa. Itu yang telah diputuskan oleh Muafakat Nasional,” katanya ketika menemani Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menghadiri Majlis Ramah Media bersama Presiden Pas di sini hari ini.

Isu iru timbul apabila Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) meletakkan Presidennya, Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai melawan calon MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng yang telah dipersetujui oleh Pas dan UMNO.

Takiyuddin berkata ia dimulakan dengan kerusi Tanjung Piai kerana ia adalah PRK pertama yang melibatkan Muafakat Nasional yang dimeterai oleh kedua-dua parti itu sebelum ini.

“Itu perlunya kita berbincang tapi asasnya tidak boleh bertanding sesama sendiri. Mana-mana pihak kena tarik diri, dan tidak boleh bertanding. Tidak boleh berlaku pertembungan sesama sendiri itu perkara asas dalam Muafakat Nasional,” tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Oleh yang demikian, Pas katanya, akan berpegang kepada prinsip itu sehingga PRU-15 dan akan memberi sokongan kepada BN sekiranya ada kerusi yang ditandingi begitu juga sebaliknya.

“Akan berterusan sampai PRU-15, jadi perjanjian dalam piagam itu tidak boleh dipinda kecuali dipersetujui boleh kedua-dua parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette