Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR – Hari ini genap 20 hari saksi kesembilan, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberikan keterangan dalam kes perbicaraan berprofil tinggi membabitkan penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Shahrol yang akan menyambung keterangan dalam pemeriksaan balas dengan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sudah masuk hari ke-32 prosiding.

Semalam, Shahrol cuba mengenakan Muhammad Shafee apabila diasak tentang ada kemungkinan dirinya juga telah bersama-bersama berkonspirasi dengan bekas CEO 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam menyeleweng dana jutaan selain meletakkan Najib dalam satu keadaan ‘sukar’.

Bagaimanapun Shahrol enggan melayan tuduhan tersebut hanya secara sinis menjawab pertanyaan tersebut dengan berkata Muhammad Shafee sendiri hanya membuat tekaan sahaja ketika menuduhnya berkonspirasi dengan Nik Faisal dan Jho Low.

Shafee: Anda seperti peribahasa Melayu ‘cuba menegak benang basah’, adalah jelas peranan kamu dalam konspirasi itu untuk meletakkan Perdana Menteri dalam kedudukan terjejas.

Nik Faisal telah menyediakan minit mesyuarat pada 21 Julai 2010, sebelum itu, beliau mesti mempunyai bakat istimewa untuk mengetahui apa yang akan berlaku.

Shahrol: Saya tidak dapat mengagak bagaimana keadaan itu, tetapi ini mungkin disebabkan perbincangan awal sebelum mesyuarat berlangsung.

Shafee: Anda hanya mengagak atau meneka?

Shahrol: Samalah seperti kamu meneka Nik Faisal mempunyai bakat istimewa.

Shafee: Saya bercakap mengikut dokumen.

9

Selain daripada itu, Mahkamah Tinggi diberitahu Shahrol perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI) pada 2009 adalah satu kegagalan.

Untuk rekod, perjanjian usaha sama yang ditandatangani pada 28 Sept 2009, menyaksikan 1MDB akhirnya membayar US$1 bilion untuk memperoleh 40 peratus pegangan dalam syarikat itu manakala PetroSaudi Holdings Cayman (sebuah syarikat dikatakan anak syarikat PSI) yang hanya menyuntik aset bernilai US$108 juta mendapat 60 peratus saham.

Muhammad Shafee juga berterusan mengasak saksi itu mengakui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak diberitahu mengenai perpindahan dana US$700 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low, Good Star Ltd, dalam satu pertemuan antara bank pusat itu dan wakil 1MDB pada 2010.

Shahrol Azral pula berkata, pada masa itu mereka (1MDB) masih menganggap Good Star adalah sebahagian daripada PSI.

Selain daripada menghadapi pertuduhan menerima suapan RM2.3 bilion menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib juga menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan akan bersambung sekitar jam 9.30 pagi ini dengan barisan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Muhammad Shafee bertindak mengetuai pasukan bela Najib. –MalaysiaGazette

1MDB: Saksi enggan mengaku terlibat konspirasi penyewelengan