Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji untuk mengetatkan polisi imigresen berkaitan kemasukan warga asing bagi menghalang kumpulan pengganas menjadikan negara ini sebagai pusat transit.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian tersebut termasuk penelitian terhadap peraturan sedia ada yang hanya memerlukan visa daripada warga negara tertentu memasuki negara ini.

“Apa pun dari segi dasar imigresen, kita kena telitilah, kaji. Setakat hari ini kalau mana-mana negara nak masuk Malaysia (perlu) ada pasport dan pasport tu tak dianggap sebagai datang dari negara bermasalah, maka mereka boleh masuk secara mudah.

“Tapi kalau perlukan visa atas sebab-sebab tertentu kita kenakan visa. Itu peraturan yang kita ada,” katanya di lobi Parlimen.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa Malaysia masih menjadi negara transit bagi kumpulan pengganas dari Timur Tengah dan Afrika perlu dipandang serius.

“Kita tak boleh pandang ringan, lebih lagi datang dari AS yang mana (mereka) sahkan. Kita pun ada bukti.

“Yang penting adalah kita berkerjasama bukan saja di dalam negara, luar negara juga, (dengan) badan-badan antarabangsa, negara-negara lain pun ada hadapi masalah yg sama.

“Kita berkongsi maklumat, jadi sana kalau pengganas bolos di Malaysia, itu bahaya bagi kita. Jadi kita perlu ambil serius pandangan sebegitu,” tambahnya.

Ayob Khan dilaporkan berkata, kumpulan pengganas berkenaan memilih Malaysia kerana mereka boleh masuk negara ini tanpa visa. – MalaysiaGazette