Sabin Samitah

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menempatkan lebih banyak sumber ke dalam penguatkuasaannya pada tahun depan dalam usaha untuk menangani kehilangan hasil daripada “ekonomi bayangan”.

Ekonomi bayangan atau hitam merujuk kepada aktiviti tidak membuat pengisytiharan bagi cukai yang perlu dibayar atau tidak.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, agensi itu akan memperuntukkan 80 peratus daripada kakitangannya untuk penguatkuasaan pada tahun depan, selaras dengan tumpuannya untuk menangani kehilangan hasil daripada ekonomi bayangan.

“Biasanya, kami memperuntukkan 60 peratus staf untuk penguatkuasaan dan 40 peratus bagi kesedaran pembayar cukai tetapi tahun depan kami akan meningkatkan jumlah staf untuk penguatkuasaan kepada 80 peratus,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Deloitte TaxMax 2019 di sini, hari ini.

Sabin berkata LHDN telah membahagikan ekonomi bayangan kepada dua kategori — warga asing dan tempatan.

Lembaga sedang mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber termasuk pengurup wang dan kiriman wang, pejabat duti setem dan bank untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam ekonomi bayangan, katanya dan menurutnya ini termasuk aktiviti haram seperti pinjaman wang, pelacuran dan dadah.

“Daripada perspektif undang-undang percukaian, kami hanya berminat dengan pendapatan bercukai mereka, manakala yang berkaitan dengan aktiviti haram akan dikendalikan oleh pihak berkuasa lain,” kata Sabin.

Bulan lepas, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Datuk Abdul Aziz Abu Bakar menganggarkan saiz ekonomi bayangan Malaysia adalah sebanyak RM300 bilion, berdasarkan pengiraan sampul surat.

Beliau berkata pendapatan perniagaan yang tidak dilaporkan itu membentuk 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut Sabin, LHDN telah menjalankan audit lapangan untuk mengesan pengelak cukai sejak bulan lepas.

Audit lapangan dijalankan berikutan pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) pada September yang mengumpul kira-kira RM7 bilion, katanya.

LHDN akan memberi tempoh yang mencukupi kepada entiti perniagaan untuk respons kepada mana-mana pertanyaan lembaga, katanya dan menurutnya audit lapangan hanya akan dijalankan sekiranya entiti perniagaan gagal memberi maklumat yang mencukupi kepada lembaga. – MalaysiaGazette