Khadijah Iskandar

KUALA LUMPUR – Agrobank optimis akan memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM200 juta pada tahun kewangan 2019 dengan kadar pertumbuhan aset melebihi 10 peratus sejak tahun 2014.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar berkata, setakat 2019, aset pembiayaan Agrobank mencapai lebih RM11 bilion, melepasi sasaran aset bagi tahun 2020 yang sebahagian besarnya dibiayai oleh dana komersial.

“Purata kadar pertumbuhan aset Agro melebihi 10 peratus sejak tahun 2014. Setakat tahun 2019, aset kewangan Agrobank telah mencapai lebih daripada RM11 bilion, yang juga melebihi sasaran aset untuk tahun 2020.

“Pertumbuhan ini sebahagian besarnya dibiayai oleh dana komersial,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Visi dan Misi Baharu sempena Sambutan Jubli Emas Agrobank malam ini.

Pelancaran Sambutan Kemuncak 50 tahun itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan timbalannya, Sim Tze Tzin.

Khadijah berkata, Agrobank berjaya menurunkan kadar pembiayaan tidak berbayar daripada 22 peratus bagi 2011 kepada 4.0 peratus pada 2019 dari segi kualiti aset pembiayaan.

“Seiring hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Agrobank mencatatkan prestasi membanggakan dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi dan pembangunan yang mampan.

“Untuk rekod, lebih 50,000 akaun pembiayaan kami adalah untuk menyokong perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana daripada jumlah ini sebanyak RM67 juta pembiayaan adalah bagi menyokong perniagan baharu.

“Lebih 80,000 akaun pembiayaan pula untuk menyokong usaha keselamatan makanan iaitu peningkatan sebanyak 21 peratus daripada 2017.

“Manakala, lebih 8,000 akaun pembiayaan kami adalah untuk golongan B40, peningkatan 33 peratus daripada 2017,” katanya lagi.

Sempena sambutan itu, Agrobank turut mengetengahkan visi ‘memperkasakan pertanian melangkaui perbankan’ serta misi ‘meningkatkan taraf pertanian dan menyediakan sokongan berterusan untuk manfaat komuniti, ekonomi dan pemegang taruh’.

Untuk rekod, Agrobank yang dulu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia kini mempunyai 180 cawangan termasuk jaringan perkhidmatan melalui kiosk, sudut dan pusat agro di kawasan terpencil dan luar bandar.

Sebanyak 71 peratus rangkaian Agrobank berada di luar bandar bagi menyediakan rangkuman kewangan kepada segmen sasaran dengan nilai sebanyak RM9.6 bilion pada 2018, meningkat 15 peratus berbanding 2017. -MalaysiaGazette