A. Kadir membuat teguran secara sinis menerusi akaun Facebooknya berhubung tindakan seorang menteri tidak membayar hutang pelancongan.

KUALA LUMPUR – Penasihat Komunikasi dan Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin menyindir tindakan seorang menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menjelaskan hutang percutian.

Tanpa menamakan menteri berkenaan, A. Kadir Jasin secara sinis mempersoalkan maruah pemimpin Melayu berkenaan yang disifatkan sebagai memalukan.

“Hutang pelajaran tak bayar. Hutang kereta tak bayar. Sekarang hutang percutian pula tak bayar. Maruah Melayu apa?,” soal beliau menerusi hantaran ringkas tetapi bermakna dalam akaun Facebooknya semalam.

Semalam tular di media sosial yang memetik nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai mungkin didakwa di mahkamah oleh sebuah syarikat agensi pelancongan atas dakwaan gagal membayar bil pelancongan lebih RM300,000.

Kegagalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi membayar hutang itu dilaporkan Sarawak Report yang turut memuatnaik gambar keluarga Mohamed Azmin ketika bercuti.

Ia termasuk lawatan peribadi keluarganya dan dirinya ke Sandakan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu Mei lalu, menurut Sarawak Report.

Sarawak Report memetik dokumen difailkan YHA Travel & Tours dan jumlah itu termasuk tambang penerbangan Timbalan Presiden PKR itu dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam responnya memberitahu, belum menerima sebarang surat saman daripada agensi pelancongan terbabit berhubung dakwaan gagal menjelaskan bil sebanyak RM300,000.

Beliau telah meminta pegawainya membuat semakan terhadap kenyataan yang dibuat oleh agensi pelancongan itu.

“Saya telah meminta pegawai-pegawai saya membuat semakan, kalau ada baki yang belum dibayar, saya akan bayar.

“Itu tanggungjawab saya untuk membayar hutang jadi biarlah semakan dibuat terlebih dahulu,” kata Mohamed Azmin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast