MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka meluluskan peruntukan RM30 juta bagi menaik taraf sistem perparitan dan lampu jalan di seluruh negeri tahun ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, daripada jumlah itu, RM25 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan.
“Baki RM5 juta lagi bagi projek pemasangan lampu jalan di kawasan yang belum mempunyai kemudahan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, Masjid Tanah, di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hameed Mytheen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau berkata, keseluruhan peruntukan berkenaan telah diagihkan kepada jabatan dan agensi berkaitan untuk pelaksanaan.
Menurutnya, kerajaan negeri menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada projek berkenaan disiapkan sebelum 1 Oktober ini.
“Ketua Menteri mengarahkan sekurang-kurangnya 70 peratus projek ini dapat disiapkan sebelum 1 Oktober ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hameed Mytheen berkata, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM6.9 juta bagi menaik taraf Sungai Paya Lebar untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan dan menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, pembangunan itu dilihat berpotensi merancakkan aktiviti pelancongan serta ekonomi setempat.
Seiring peningkatan jumlah pengunjung ke Paya Lebar, kerajaan negeri turut meluluskan RM1 juta bagi pembinaan sebuah menara telekomunikasi untuk meningkatkan liputan dan capaian 5G di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette
















