DUBAI – Tentera Iran menembak jatuh sebuah dron milik negara asing di bandar pelabuhan, Mahshahr di selatan wilayah Khuzestan, kata agensi berita IRNA yang memetik seorang pegawai Iran.

“Dron yang ditembak jatuh jelas kepunyaan sebuah negara asing. Serpihannya telah ditemui dan siasatan sedang dijalankan,” kata Gabenor Khuzestan, Gholamreza Shariati yang dipetik IRNA.

Terdahulu media Iran melaporkan bahawa tentera negara itu telah menembak jatuh dron di Mahshahr tanpa menyiarkan maklumat lanjut, lapor Reuters.

Para pegawai dan media Iran tidak menyatakan negara mana milik dron itu atau samada ia dron tentera atau dron awam.

Tiada ulasan dari Amerika Syarikat.

Israel enggan mengulas mengenai insiden tersebut apabila jurucakap tentera Israel berkata: “Kami tidak membuat ulasan berdasarkan laporan media asing,”.

Agensi berita, Tasnim berkata, dron itu ‘ditembak jatuh di ruang udara Iran dengan peluru berpandu darat-ke-udara buatan tentera tempatan,”.

Rakaman yang disiarkan agensi berita, Mehr menunjukkan peluru berpandu itu menyeraang ‘dron yang agresif’. Rakaman video itu memaparkan sebuah peluru berpandu dilancarkan dari darat disusuli letupan di udara.

“Ia tindak balas tegas kepada dron asing yang agresif, sebelum sampai ke kawasan yang sensitf negara ini,” kata Pemerintah Tentera Pertahanan Udara Iran, Alireza Sabahifard. – Agensi